KOTA KINABALU: Usaha untuk memperkasakan kualiti produk tempatan merupakan langkah awal bagi membawa jenama Sabah menembusi pasaran global yang lebih kompetitif.
Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (Mindet), Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya kini memberikan tumpuan kepada aspek pensijilan bagi memastikan produk tempatan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pasaran luar negara.
"Kita ingin membantu dan membimbing para usahawan tempatan agar mendapatkan pensijilan yang diiktiraf seperti Mesti, Halal, serta pematuhan kepada standard ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tata Urus) yang kini menjadi faktor penting bagi pengguna di luar negara.
"Langkah ini penting untuk memastikan produk Sabah bukan sahaja menarik dari segi luaran, tetapi juga mempunyai kredibiliti yang tinggi untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
"Kita mahu usahawan kita bukan sahaja hebat di pasaran domestik, tetapi mampu bersaing dengan usahawan di luar Sabah dengan memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (Akis) 2024/2025 di sini, Jumaat.
Seramai 50 usahawan yang terpilih dalam Program Transformasi Usahawan Sabah diraikan dalam majlis tersebut sebagai simbolik kejayaan pendigitalan dan penjenamaan semula produk IKS Sabah.
“Maklum balas daripada usahawan yang menyertai program transformasi pembungkusan dan pelabelan yang lebih profesional anjuran kementerian menunjukkan peningkatan jualan yang ketara.
“Walaupun ada pepatah mengatakan jangan menilai sesuatu daripada luaran semata-mata, dalam dunia perniagaan elemen pembungkusan dan penampilan luaran memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keputusan pembeli,” katanya. Dalam majlis tersebut, sebanyak enam kategori anugerah yang disertai oleh 28 syarikat yang dinilai berdasarkan beberapa kriteria antaranya nilai jualan tahunan di bawah RM1 juta sehingga melebihi RM50 juta.
Turut hadir Pembantu Menteri Mindet, Datuk Jonnybone J. Kurum, Setiausaha Tetap Mindet Datuk Thomas Logijin serta Pengarah Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) Wilayah Sabah, Ariffin Hamzah.
Sementara itu, beliau berkata penganjuran Akis dapat melonjakkan kredibiliti para pemain industri tempatan.
Katanya, Akis yang kini memasuki edisi ke-10 bukan sekadar satu majlis penganugerahan malah ianya merupakan inisiatif bagi melahirkan syarikat yang lebih produktif dan inovatif.
"Akis menjadi platform penting untuk meningkatkan kredibiliti dan keyakinan pelabur terhadap industri tempatan serta menyerlahkan syarikat yang menunjukkan amalan terbaik sebagai model teladan kepada pemain industri lain.
"Kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian lama, justeru kementerian sentiasa meningkatkan kriteria pemilihan agar anugerah ini terus berkembang selari dengan piawaian kebangsaan.
"Kriteria penilaian bagi edisi kali ini telah diperketatkan yang merangkumi aspek kepimpinan, perancangan modal insan, serta pengurusan maklumat dan pengetahuan" katanya.
Menurut beliau pada tahun ini, Akis menawarkan enam kategori penyertaan yang merangkumi usahawan IKS sehingga syarikat besar dengan nilai jualan sehingga RM50 juta setahun.
"Selaras dengan wawasan 'Sabah First', tumpuan utama kementerian adalah untuk melahirkan lebih ramai rakyat Sabah yang berpendapatan tinggi, sama ada sebagai pemilik perniagaan, usahawan, mahupun tenaga kerja mahir.
"Saya ingin melihat lebih banyak syarikat dari Sabah, termasuk syarikat pemula (start-ups), dibangunkan dengan produk atau perkhidmatan yang memenuhi standard antarabangsa.
"Platform seperti Akis dan Program Transformasi Usahawan Sabah dapat merapatkan jurang tersebut melalui peningkatan standard produk, termasuk penggunaan kod bar dan kandungan nutrisi yang memenuhi piawaian global," tambahnya.
Beliau berharap penerima anugerah menjadikan pengiktirafan tersebut sebagai pemangkin untuk membawa nama Sabah ke persada dunia.