KENINGAU: Mayat seorang lelaki berusia 45 tahun yang telah reput, dipercayai warga asing, ditemui di cerun bukit di tepi Jalan Tulid–Tongod berhampiran estet Kampung Nontodon, Sook, di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Yampil Anak Garai, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu kira-kira jam 8.16 pagi di Kilometer 67.7 jalan berkenaan.
Menurutnya, laporan awal dibuat di Balai Polis Tongod (IPD Beluran), namun hasil siasatan lanjut mengesahkan lokasi kejadian berada di bawah bidang kuasa Balai Polis Sook, IPD Keningau.
“Hasil pemeriksaan awal di lokasi mendapati mayat berada dalam keadaan reput dan berulat, khususnya di bahagian kepala dan abdomen,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mayat itu ditemui di cerun tepi jalan yang curam, dianggarkan sedalam kira-kira 10 kaki dengan kecondongan 45 darjah, dilitupi semak tebal dan terletak kira-kira 106 kilometer dari bandar Keningau.
“Penempatan terdekat dianggarkan sejauh tiga kilometer dan tiada kenderaan ditemui berhampiran lokasi kejadian. Kawasan tersebut sangat terpencil dan siasatan awal tidak menemukan sebarang tanda pergelutan.
“Tiada senjata seperti besi atau kayu dijumpai di tempat kejadian,” katanya.
Menurut Yampil, satu beg pinggang yang ditemui berhampiran mayat mengandungi beberapa keping wang peso Filipina (tiga keping berjumlah 25 peso), wang syiling Malaysia berjumlah 70 sen, sekeping gambar bersaiz pasport serta beberapa kad pengenalan yang menunjukkan mangsa berasal dari Filipina.
Bagaimanapun, katanya, tiada pasport atau telefon bimbit ditemui.
Mangsa didapati berpakaian lengkap termasuk kasut. Pemeriksaan turut menemukan satu koyakan cetek kira-kira tujuh sentimeter pada bahagian bawah kiri abdomen, namun pihak polis tidak dapat memastikan sama ada kecederaan itu berpunca daripada trauma, jatuh atau proses pereputan.
“Tiada kecederaan lain dikesan,” katanya.
Polis turut menemui kerajang aluminium dan pemetik api di dalam poket hadapan kiri seluar jeans mangsa yang dipercayai digunakan untuk pengambilan dadah jenis methamphetamine.
Pegawai forensik dari D10 JSJ IPK Sabah telah mengambil sampel rambut dan tanah di lokasi kejadian untuk analisis lanjut.
Yampil berkata mayat dipercayai berada di lokasi tersebut kira-kira seminggu dan kes telah direkodkan di bawah Laporan Polis Sook 64/26.
Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu bagi mengenal pasti punca kematian. Siasatan masih diteruskan.