BEAUFORT: Kementerian Kerja Raya (KKR) perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap kontraktor bertanggungjawab terhadap projek Pakej Kerja 02 Lebuh Raya Pan Borneo susulan kelewatan yang berlaku.
Adun Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, masalah itu telah menyebabkan kesukaran kepada pengguna jalan raya khususnya penduduk setempat di sepanjang jajaran dari Kampung Bukau, Lumadan dan Padas Valley.
Sehubungan itu, katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada JKR untuk sebarang tindakan terhadap kontraktor memandangkan projek itu adalah untuk rakyat dan sewajarnya kesejahteraan rakyat diutamakan.
“Sekarang pihak JKR sedang meneliti beberapa perkara yang diambil kira sebelum sebarang tindakan diambil dan perkara ini kita serahkan kepada pihak JKR untuk tindakan sewajarnya.
“Sebagai wakil rakyat, kita hanya menyuarakan suara rakyat yang mahukan jalan raya sedia ada yang rosak dan berlubang itu, ditampal atau dibaiki,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Taklimat Perkembangan Projek Pakej Kerja 02 Lebuh Raya Pan Borneo di Pejabat JKR Bahagian Beaufort, di sini, Selasa.
Ruslan berkata, beliau mempunyai beberapa cadangan untuk penyelesaian jangka pendek, sementara menantikan isu-isu sekian lama melibatkan projek itu diselesaikan.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan itu berkata, antara cadangannya adalah memperbaiki laluan sedia ada dari Kampung Padas Valley hingga ke simpang Kampung Lumadan.
Menurutnya, ia perlu kerana laluan baharu di bawah projek Pakej Kerja 02 di jajaran itu masih dalam pembinaan dan dijangka akan mengambil masa lebih lama susulan statusnya sebagai “projek sakit”.
“Kalau kita lihat kerja-kerja dilaksanakan sekarang ini, mungkin dalam setahun belum tentu selesai, jadi laluan sedia ada atau jalan asal JKR ketika ini yang rosak dan sebagainya, perlu dibaiki bagi memberi kemudahan kepada pengguna.
Manakala, projek sama di laluan sebelah kiri yang kini dalam pembinaan dari simpang masuk Lumadan hingga ke simpang Tamalang Along 1, harus segera diturap mengikut jadual ditetapkan, iaitu selewatnya Februari depan.
“Jalan lencongan juga perlu dibuat di Tamalang Along 3, tembus ke Tamalang Along 1 bagi mengelak laluan sedia ada yang bukan saja rosak tetapi juga sering dinaiki air ketika hujan lebat hingga sukar dilalui kenderaan,” katanya.
Ruslan berkata, situasi itu berlaku ekoran ketiadaan sistem perparitan di sepanjang laluan baharu, yang dibina lebih tinggi daripada jalan asal, hingga membahayakan pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pihak kontraktor membina parit di sepanjang laluan berkenaan, seterusnya mengatasi masalah air bertakung di laluan tersebut.