SANDAKAN: Semua kontraktor yang terlibat dalam Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah diseru melipatgandakan usaha bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan, susulan kelewatan kemajuan fizikal bagi beberapa Pakej Kerja (WP).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata kelewatan itu ketara melibatkan WP 1A dan WP 1B, sekali gus menimbulkan kebimbangan kementerian walaupun bayaran kewangan dibuat berdasarkan kemajuan sebenar projek.
Menurut beliau, secara keseluruhan WP 1A yang merangkumi 15 pakej sepatutnya mencapai kemajuan fizikal 96.24 peratus, namun kemajuan sebenar setakat ini hanya 86.53 peratus, menunjukkan kelewatan kira-kira 10 peratus. Dari segi kewangan, jadual menetapkan 96.11 peratus, manakala pembayaran sebenar berada pada 86.34 peratus.
“Walaupun terdapat jurang dari segi kemajuan fizikal, bayaran kewangan dibuat seiring dengan kemajuan sebenar, jadi tidak timbul isu kelewatan pembayaran,” katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B di daerah Kinabatangan sempena lawatan Program Turun Padang (TURPA) pertama bagi 2026, pada Jumaat.
Bagi WP 1B yang bermula tahun lalu, Ahmad berkata kemajuan fizikal dijadualkan pada 16.68 peratus, namun pencapaian sebenar hanya 12.27 peratus, manakala kemajuan kewangan berada pada 10.59 peratus berbanding sasaran 14.74 peratus.
“Saya memang tidak puas hati dengan kelewatan WP 1A. Daripada 15 pakej, hanya empat siap sepenuhnya iaitu Pakej 5, 15, 21 dan 27. Baki 11 pakej perlu dipercepatkan,” katanya.
Ahmad berkata kementerian bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang mengambil beberapa langkah bagi menangani kelewatan berkenaan, termasuk pemantauan rapi di tapak projek, penyelesaian isu pengambilan balik tanah, pengalihan utiliti, tuntutan bayaran tertangguh serta perbezaan tuntutan antara kontraktor dan kerajaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa isu kekurangan bekalan asfalt yang dikenal pasti sebagai antara punca kelewatan kini telah diselesaikan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata pampasan tanah dan struktur bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B melibatkan WP25 dan WP26 dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang Jun tahun ini, membabitkan 338 pemilik tanah serta 435 struktur.
WP25 melibatkan projek menaik taraf Jalan Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau sepanjang 14.97 kilometer, manakala WP26 melibatkan kerja menaik taraf Jalan Sukau ke Kampung Lot M sejauh 18 kilometer.
Sehubungan itu, beliau menegaskan komitmen semua kontraktor amat penting bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan siap mengikut perancangan demi keselamatan pengguna jalan raya serta pembangunan negeri.