Kota Kinabalu: Seorang nenek yang prihatin tampil menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan jalan yang semakin teruk berhampiran Sekolah Rendah dan Menengah St Francis Convent serta Sekolah Antarabangsa Kinabalu sambil menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera selepas berbulan-bulan kelewatan.
Mary Kan yang berulang-alik setiap hari untuk menghantar dan mengambil cucunya menyifatkan persimpangan menuju ke sekolah-sekolah berkenaan sebagai uzur dan tidak selamat.
Beliau berkata kerja-kerja pengorekan telah bermula lebih enam bulan lalu namun masih belum disiapkan tanpa sebarang kemajuan yang dapat dilihat.
“Saya menggesa menteri yang baru mengangkat sumpah serta Pengarah JKR supaya ‘turun padang’ dan melihat sendiri keadaan persimpangan ini.
“Kelewatan yang berpanjangan telah menyebabkan ketidakselesaan berterusan serta kebimbangan keselamatan khususnya kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak menaiki motosikal.
“Enam bulan adalah tempoh yang terlalu lama untuk pembaikan sebuah persimpangan yang ringkas. Orang awam berhak mendapat ketelusan dan tindakan segera kerana isu ini melibatkan soal hidup dan mati,” tegasnya.
Tambahnya lagi permukaan jalan yang tidak rata telah menyebabkan kerosakan jangka panjang kepada kenderaan dengan kos pembaikan ditanggung sepenuhnya oleh pengguna jalan raya.