Tenom: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar menegaskan komitmenya membantu komuniti luar bandar.
Beliau berkata kini adalah masa untuk bekerja membantu rakyat keseluruhanya kerana musim politik sudah berlalu.
“Tumpuan ketika ini ialah pembangunan rakyat bukan saja dari segi infrastruktur tetapi pertanian, perikanan dan sumber makanan demi kebaikan rakyat.
“Tiada isu siapa sokong siapa, siapa undi siapa kerana sekarang masa menunaikan tanggungjawab membantu rakyat,” katanya ketika merasmikan Rumah Terbuka Natal Dewan Undangan Negeri (Dun) Melalap 2025 di Dewan Datuk Sanggau Jalang pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap menyatakan keutamaanya bagi mengangkat martabat dan kesejahteraan masyarakat tani, pekebun kecil serta nelayan yang kebanyakanya tergolong dalam kumpulan B40.
Jamawi juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pengundi-pengundi di kawasan Melalap yang memberikan kepercayaan kepada saya sebagai wakil rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Adun Kemabong Datuk Rubin Balang dan Ahli Parlimen Tenom merangkap Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Riduan Rubin.
Mengulas lanjut Jamawi menyatakan banyak lagi program-program akan dilaksanakan terutamanya di kawasan pedalaman membabitkan Tenom dan Kemabong.
“Kita akan bergerak secara selari supaya dapat memberikan yang terbaik untuk kawasan kita dan negeri secara amnya.
“Hari ini kita merayakan Natal bersama-sama tanpa mengira latar belakang agama dan keturunan. Saya akan memberikan perkhidmatan yang terbaik dan akan menyuarakan semua keperluan Dun Melalap di Dewan Undangan,” katanya.
Menurutnya sebelum memegang jawatan lagi beliau telah mengumumkan pendekatan untuk memperkasakan inisiatif konsep Kebun Dapur sebagai wadah menyentuh kehidupan seramai mungkin masyarakat.
“Saya ingin membuka ruang dan peluang yang seluas-luasnya kepada orang kampung kita untuk terlibat dalam aktiviti pertanian di kawasan rumah sendiri dengan kos yang rendah. InsyaAllah kita akan lancarkan awal tahun depan.
Saya lihat banyak perkara yang akan kita cuba usahakan bagi membantu rakyat sekali gus membawa lebih banyak peruntukan dan kemajuan pertanian dengan ekonomi untuk anak-anak muda.
“Walaupun tahun depan peruntukan tidaklah sebanyak mungkin nsmun kita mengharapkan supaya proses pengembalian 40 peratus hasil Sabah yang sedang dimuktamadkan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan dapat membantu lebih ramai petani, penternak, pelayan dan pengusaha industri,” ujarnya.
Sementara itu mengulas semangat perayaan beliau berkata Krismas membawa mesej sejagat tentang kasih sayang, penerimaan dan kebersamaan yang sangat dekat di hati rakyat Sabah berbilang budaya serta kepercayaan.