Kota Kinabalu: Semakan terhadap undang-undang sedia ada akan dilaksanakan secara berperingkat dan berdasarkan keutamaan bagi memastikan pelaksanaannya berkesan serta selari dengan keperluan pentadbiran dan tadbir urus semasa.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata semakan itu penting bagi memastikan perundangan di negeri ini kekal relevan dan berfungsi dengan berkesan.
“Undang-undang perlu dinilai secara berkala supaya pelaksanaannya selaras dengan keperluan pentadbiran semasa dan prinsip tadbir urus yang baik,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi Jabatan Ketua Menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini.
Mengulas cadangan Syed Ahmad Syed Abas (Balung) supaya undang-undang berusia lebih 20 tahun, termasuk yang digubal sejak 1985, disemak semula, Hajiji berkata Kerajaan Negeri mengambil maklum cadangan tersebut.
Beliau menegaskan kementerian, jabatan atau agensi berkaitan sentiasa mengemukakan cadangan pindaan terhadap undang-undang sedia ada tertakluk kepada keperluan, keutamaan serta keberkesanan pelaksanaannya.
Sebagai contoh, beliau merujuk Enakmen Lembaga Hasil Pertanian 1981, yang walaupun digubal pada 1981, hanya berkuat kuasa pada 2022 dan dipinda pada 2024 bagi memperuntukkan fungsi tambahan serta memperkukuh peruntukan penguatkuasaan.
Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan bahawa perundangan lama turut dinilai dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaannya kekal relevan dengan keperluan semasa.
“Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 juga dipinda pada 2000 dan sekali lagi pada 2022, iaitu kira-kira 22 tahun selepas pindaan sebelumnya. Pindaan itu dibuat bagi menangani keperluan semasa dalam pentadbiran kerajaan tempatan serta mengemas kini dan memperkukuh kuasa undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah,” katanya.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri turut menubuhkan Majlis Penasihat Reformasi Undang-Undang Sabah awal tahun ini yang dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah, bersama beberapa pengamal undang-undang kanan dari sektor swasta.
“Majlis ini diberi mandat untuk meneliti dan mencadangkan pindaan terhadap undang-undang sedia ada bagi memastikan ia selari dengan keperluan pentadbiran dan tadbir urus kontemporari,” katanya.
Beliau berkata semakan berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan, dengan mengambil kira keberkesanan pelaksanaan serta keperluan semasa, bagi memastikan perundangan di Sabah terus relevan dan berkesan.