Kota Kinabalu: Majlis Anugerah Seni Kanak-Kanak 2025 yang berlangsung di Tinggi Tinggi Creative Hub meraikan kreativiti serta pencapaian artistik bakat muda yang menunjukkan kemajuan ketara sepanjang tahun.
Dianjurkan oleh My Art Studio cawangan Lintas Plaza dan Pintas Square, acara itu menyaksikan seramai 100 peserta berusia antara lima hingga 16 tahun menerima anugerah dalam tiga sesi berasingan.
Pengetuanya, Chua Sang Yuu, berkata pelajar menunjukkan kemajuan bukan sahaja dari segi kemahiran teknikal, malah keyakinan berkarya serta keberanian meneroka idea baharu.
“Untuk tahun ini, kami melihat pertumbuhan ketara dalam kedua-dua aspek — kemahiran teknikal dan keyakinan kreatif. Mereka semakin selesa meneroka tema serta pendekatan baharu dan lebih berani membuat pilihan artistik sendiri. Paling menonjol adalah generasi muda yang sangat teruja meluahkan idea secara unik sehingga menghasilkan karya lebih menarik,” katanya, baru-baru ini.
Beliau berkata anugerah itu menjadi platform untuk meraikan usaha, minat, kreativiti dan ketekunan kanak-kanak dalam menghasilkan karya masing-masing.
“Anugerah ini khusus untuk menghargai kerja keras dan semangat kanak-kanak ini. Penting untuk menyediakan ruang mempamerkan bakat serta pencapaian pelajar dan karya yang mereka hasilkan di studio. Melalui acara seperti ini, kami berharap orang ramai dapat lebih menghargai seni kanak-kanak secara menyeronokkan,” katanya.
Semua hasil lukisan pelajar dipamerkan di Tinggi Tinggi Creative Hub dari 5 hingga 12 Dis lalu.
Chua turut menjelaskan kriteria utama pencarian bakat muda, termasuk sifat ingin tahu, imaginasi visual yang kuat, ketekunan dan tahap pemahaman yang baik terhadap komposisi, warna dan bentuk.
“Terdapat beberapa faktor penting dalam mengenal pasti pelajar berbakat, antaranya rasa ingin tahu, imaginasi visual yang tinggi, ketekunan serta keupayaan memahami komposisi, warna dan bentuk pada tahap lebih baik.
“Untuk mengembangkan bakat ini, kami akan dedahkan mereka kepada teknik lanjutan, mengenal pasti ruang peningkatan dan cara baharu mengekspresikan karya dari sudut berbeza.
“Matlamatnya ialah memastikan mereka berkembang mengikut kesesuaian kemampuan supaya berasa disokong dan tidak tertekan,” jelasnya.
Dengan kerjasama rapat antara My Art Studio dan Sabah Youth Network for Creatives (SYNC), Chua optimis terhadap masa depan pendidikan seni kanak-kanak di Sabah.
“Melalui kerjasama dengan SYNC, kami melihat masa depan pendidikan seni kanak-kanak di Sabah amat memberangsangkan.
“Dengan meningkatnya kesedaran tentang nilai kreativiti, lebih banyak keluarga dan sekolah mengakui pentingnya memupuk ekspresi seni.
“Kami menjangka lebih banyak integrasi seni dalam pendidikan arus perdana, inisiatif seni berasaskan komuniti dan akses latihan berkualiti yang lebih luas,” katanya.