Kota Kinabalu: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berkata keputusan menyokong Kerajaan Negeri diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah selaras dengan kehendak majoriti ahli serta pemimpin bahagian parti di seluruh Sabah.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Tambunan itu, keputusan menyertai kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor dibuat demi memastikan kestabilan politik pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17, khususnya selepas GRS tidak memperoleh kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan sendiri.
Jeffrey berkata Star Sabah mengadakan perbincangan menyeluruh bersama ahli jawatankuasanya sebelum mencapai kata sepakat untuk menyokong kerajaan.
Keputusan itu sekali gus menamatkan spekulasi dan tuduhan yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu mengenai pendirian parti.
Beliau berkata langkah tersebut bagi memastikan kestabilan pentadbiran serta mengelakkan kawasan seperti Tambunan tercicir daripada agenda pembangunan negeri.
“Walaupun saya menyokong Kerajaan GRS, perjuangan dan matlamat saya tidak pernah berubah. Saya tetap memperjuangkan hak rakyat Sabah, seperti yang saya lakukan selama ini,” katanya.
Jeffrey turut berharap semua pemimpin yang diberikan mandat rakyat dapat berganding bahu memperjuangkan hak Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang kekal menjadi asas tuntutan negeri.
Beliau menepis serangan dan sindiran pihak lawan sepanjang kempen PRN, termasuk cubaan memperlekehkan dirinya dengan dakwaan “berjalan senget” dan perlu diganti.
Katanya, biarpun berusia 76 tahun, beliau tetap tabah dan komited berkhidmat kepada rakyat, tanpa tergugat dengan serangan peribadi.