KINABATANGAN: Kadar pengangguran di Sabah menurun kepada 6.2 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 6.7 peratus pada suku sebelumnya, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau berkata, penurunan itu menunjukkan jumlah penganggur di negeri ini berkurang daripada 144,500 kepada 120,300 orang dalam tempoh berkenaan.
Menurutnya, keberkesanan penempatan kerja melalui Program MYFutureJobs yang diselia Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada pengurangan kadar pengangguran di Sabah.
“Menerusi data ini juga, Sabah merekodkan pengurangan lebih 20,000 penganggur,” jelasnya.
“Program MYFutureJobs pula menyaksikan seramai 11,966 pencari kerja berjaya ditempatkan setakat Oktober tahun ini,” tambah beliau.
Dari segi tawaran kekosongan jawatan, Abdul Rahman berkata, sebanyak 93,782 kekosongan direkodkan di Sabah setakat 24 Oktober, menunjukkan kesan positif program berkenaan dalam membantu rakyat mendapatkan pekerjaan.
“Ia juga mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam memperkasa pasaran kerja tempatan di negeri ini dan di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Lindung Kerjaya MYFutureJobs @ Lamag Kinabatangan 2025 di Dewan Sri Lamag, di sini, Sabtu.
Turut hadir, Adun Sukau, Datuk Jafry Arifin dan Pengarah Perkeso Sabah, Dr Mohd Ali Hindia.
Pada majlis sama, turut disampaikan surat tawaran kerja kepada pencari kerja yang berjaya serta penyerahan faedah Perkeso kepada pencarum dan waris.
Karnival berkenaan menawarkan pelbagai aktiviti serta peluang pekerjaan kepada warga Kinabatangan, termasuk temu duga terbuka dengan penyertaan lebih 11 majikan dari pelbagai sektor, pendaftaran percuma akaun MYFutureJobs untuk pencari kerja dan majikan, serta khidmat kaunseling kerjaya.
Sebanyak lebih 500 peluang pekerjaan disediakan, menyasarkan pencari kerja, belia, graduan dan peniaga kecil.
Selain itu, khidmat nasihat perlindungan sosial daripada Perkeso dan taklimat produk perkhidmatan di bawah Lindung Kasih dan Lindung Kendiri turut disediakan kepada pengunjung, bersama pameran interaktif.
Abdul Rahman berkata, program itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk mendekati masyarakat, memastikan tiada golongan tercicir termasuk masyarakat luar bandar di Kinabatangan.
Lindung ialah penjenamaan semula skim perlindungan keselamatan sosial Perkeso yang dilancarkan pada 22 Ogos, sebagai langkah strategik memperkukuh peranannya dalam melindungi rakyat.
Pendekatan baharu itu lebih segar, inklusif dan mudah diingati, dengan impak tinggi dalam menyampaikan mesej perlindungan sosial secara meluas dan berkesan.
Melalui penjenamaan tersebut, Akta 4 kini dikenali sebagai Lindung Pekerja, Akta 800 sebagai Lindung Kerjaya, Akta 789 (SKSPS) sebagai Lindung Kendiri dan Akta 838 (SKSSR) sebagai Lindung Kasih.