PENGARAH prolifk Zul Huzaimy menyifatkan filem terbaru arahannya 3 Hajat bukan sekadar sebuah naskhah bergenre drama biasa tetapi satu eksplorasi tentang penebusan, perdamaian dan ikatan kekeluargaan yang disampaikan dalam kualiti sinematik.
Diterbitkan KRU Studios dan Astro Shaw, 3 Hajat menampilkan pelakon tersohor tanah air Eman Manan bersama gandingan mantap Amerul Affendi serta kemunculan wajah baharu yang dijangka mencuri perhatian Iman Aneesa.

“Filem penuh konflik dan emosi ini mengangkat dua watak ‘anti-hero’ dengan sisi gelap masing-masing, yang akhirnya dipertemukan dalam keadaan yang hampir mustahil,” katanya.
Penerbit Eksekutif 3 Hajat merangkap Ketua Astro Shaw Raja Jastina Raja Arshad turut menyatakan keyakinannya terhadap filem itu.
“Mempertaruhkan kisah yang dekat dengan masyarakat kita, kami yakin genre drama seperti ini mampu memikat hati penonton, apatah lagi dengan jalan cerita, kualiti visual serta gaya pengarahan yang kemas.
“Istimewanya lagi, 3 Hajat digerakkan oleh gandingan hebat bintang senior Eman Manan dan pelakon versatil Amerul Affendi yang mempamerkan persembahan luar biasa.

“KRU Studios sinonim dengan kekuatan teknikal dan teknologi manakala Astro Shaw menerusi aset, pemasaran dan tenaga kreatif. Justeru kami mengharapkan sinergi ini mampu mencipta impak bermakna kepada industri,” katanya.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif mewakili KRU Studios Datuk Norman Abdul Halim berkata 3 Hajat menandakan satu detik bersejarah buat syarikat itu kerana ia merupakan filem bergenre drama eksperimental pertamanya.
“Kami berhasrat untuk menerbitkan sekurang-kurangnya satu filem sebegini setahun dengan pendekatan penceritaan yang tidak konvensional, sambil menampilkan kepelbagaian budaya, gaya hidup serta latar komuniti di Malaysia,” katanya.
3 Hajat mengisahkan perjalanan Awang (lakonan Eman Manan), seorang bekas banduan yang berlawan dengan masa akibat penyakit kronik, untuk menunaikan tiga hajat terakhirnya bersama anak tunggalnya, Tawfiq (lakonan Amerul Affendi). Namun, hubungan itu jauh daripada mudah kerana Tawfiq sendiri bergelut dengan tekanan hidup dan sejarah hitam yang membelenggu jiwanya.
Berlatarbelakangkan keindahan perkampungan nelayan di Terengganu, penggambaran 3 Hajat turut mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri Terengganu pada Oktober lalu.
Sebuah Tayangan DiRaja turut diadakan dengan keberangkatan Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negeri Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah yang berkenan mencemar duli bagi menyaksikan tayangan filem ini, sekali gus menyempurnakan majlis bersejarah terbabit.
Turut berangkat pada majlis tayangan itu adalah Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.
Filem 3 Hajat menemui penonton di 70 pawagam seluruh negara bermula Khamis lalu (2 Oktober).