TAWAU: Seorang lelaki pemastautin tetap didenda RM20,000 atau 15 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Tawau kerana memiliki 1,725 liter minyak petrol tanpa permit sah, April lalu.
Indar Nasli, 33, mengaku bersalah kepada tuduhan itu di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Indar dituduh mempunyai dalam kawalannya barang berjadual iaitu minyak petrol sebanyak 1,725 liter dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah di sebuah rumah atas air di Kg Labuan Aji, Pulau Bum Bum, Semporna sekitar jam 2.30 pagi pada 8 April 2026.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak petrol tersebut secara runcit atau borong tanpa lesen.
Dia kemudiannya didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan petrol disita itu dijual dan hasil jualan diserahkan kepada kerajaan.
Sebuah bot kayu berwarna biru tanpa nombor pendaftaran serta enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda (hp) yang turut dirampas dalam kes itu, diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tujuan pelupusan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna, Samat Mapiare, manakala tertuduh tidak diwakili.