KENINGAU: Daerah ini menjadi perintis penganjuran kelas al-Quran Braille di kawasan pedalaman Sabah bagi memastikan golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan mendapat akses lebih inklusif kepada pendidikan al-Quran.
Pengerusi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), Yusran Bakran berkata program itu diwujudkan bagi memastikan lebih ramai OKU penglihatan berpeluang mempelajari, menghayati dan mendalami ajaran al-Quran melalui kaedah Braille.
Advertisement
.gif)
“Program ini juga bertujuan memperkasakan golongan OKU penglihatan untuk mendalami ilmu al-Quran secara lebih sistematik dan berterusan.
“Kami percaya setiap individu berhak mendapat akses kepada pendidikan al-Quran tanpa sebarang halangan,” katanya ketika merasmikan Program Kelas Pengajian al-Quran Braille di Masjid Al-Taqwa, di sini, Ahad lepas.
Program julung kali itu merupakan kerjasama strategik antara Jabatan Oftalmologi Hospital Keningau, Pertis, Yayasan Maghfirah dan Masjid Al-Taqwa Keningau.
Sementara itu, Pakar Mata Jabatan Oftalmologi Hospital Keningau, Dr Mohd Fariz Mohd Ali berkata usaha berkenaan mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan golongan OKU penglihatan memperoleh akses yang lebih inklusif kepada pendidikan al-Quran.
“Usaha memperkenalkan Kelas Pengajian al-Quran Braille merupakan pendekatan holistik yang bukan sahaja memberi perhatian kepada aspek kesihatan fizikal, malah turut menitikberatkan kesejahteraan rohani golongan OKU penglihatan,” katanya.
Selain meningkatkan kemahiran membaca al-Quran, kelas berkenaan turut bertujuan menyemai nilai kerohanian, memperkukuh hubungan peserta dengan ajaran Islam serta meningkatkan keyakinan diri dalam mengamalkan tuntutan agama.
Inisiatif itu juga dilihat sebagai platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pembelajaran al-Quran dalam kalangan OKU penglihatan, di samping memperkukuh pembangunan rohani dan sosial peserta.
Sempena pelancaran program itu, turut diadakan Program EYECARE4U yang menawarkan saringan pemeriksaan mata kepada orang ramai serta pameran kesedaran kesihatan mata.
Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat yang hadir bagi mendapatkan maklumat berkaitan penjagaan kesihatan mata dan perkhidmatan yang disediakan.
Hadir sama, Setiausaha Pertis, Mohd Azman Andi Ajin dan Bendahari Pertis, Nur Shahieda Eddie.