KUNAK: Program larian Kunak Half Marathon (KHM) berjaya menarik 1,091 penyertaan daripada pelbagai peringkat umur, secara langsung membuktikan aktiviti sukan seperti itu kini menjadi pilihan masyarakat dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan disamping menyemai nilai-nilai positif seperti gaya hidup sihat, disiplin dan semangat perpaduan.
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Dato Sri Anil Sandhu berkata, penganjuran program tersebut mampu menarik lebih ramai penyertaan belia dan juga golongan veteran disamping menggalakkan komuniti setempat mengambil bahagian dalam aktiviti sihat selain mengisi masa berkualiti bersama rakan-rakan dan keluarga.
Advertisement
.gif)
Menurutnya, peserta yang terlibat dalam program itu termasuk ahli-ahli kelab pelari dari Kunak, Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan, Kota Kinabalu, Pitas, Kota Belud dan beberapa lagi daerah di Sabah.
“Aktiviti sukan ini juga dapat menyemai semangat perpaduan serta disiplin dikalangan peserta, menggalakkan mereka untuk bersaing secara sihat dan positif. Sudah tentu latihan yang cukup diperlukan oleh mana-mana peserta untuk mencapai sasaran masa yang mereka mampu lakukan”, katanya.
“Syabas saya ucapkan kepada pihak penganjur dan juga semua penyumbang dalam menjayakan acara marathon kali ini,” katanya kepada pada Ahad.
Tiga laluan jarak larian dalam KHM itu termasuk 21km, 10km dan 5km yang bermula di Padang Pekan Kunak.
Bagi larian 21km ia dibahagikan kepada empat kategori iaitu terbuka lelaki, terbuka wanita, kategori lelaki veteran dan wanita veteran.
Sementara itu, larian jarak 10km dan 5km masing-masing dibahagikan kepada dua kategori iaitu terbuka lelaki dan terbuka wanita.
Anil yang juga Adun Kunak menegaskan bahawa kerajaan sentiasa menyokong program yang melibatkan penyertaan belia, selain mampu menjana pendapatan melalui pengisian aktiviti sepanjang program itu berlangsung.
“Saya berharap aktiviti seumpama ini dapat diteruskan di masa hadapan yang boleh diadakan di beberapa lokasi atau daerah mengikut kesesuaian oleh mana-mana penganjur, selain meningkatkan lagi interaksi sosial dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum,” katanya.