Kota Kinabalu: Kira-kira 50,000 pengunjung dari dalam dan luar negara dijangka menghadiri Regatta Lepa Semporna 2026 edisi ke-31 yang akan bermula 20 hingga 28 Jun ini di Semporna.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata acara yang berlangsung selama seminggu itu meraikan kekayaan warisan maritim, budaya dan tradisi masyarakat Bajau selain mengetengahkan Semporna sebagai antara destinasi pelancongan budaya utama di Sabah.
Advertisement
.gif)
Beliau berkata pelbagai program kebudayaan, pelancongan serta kemasyarakatan telah disusun menjelang acara kemuncak Regatta Lepa.
“Regatta Lepa kekal sebagai salah satu festival budaya paling ikonik di Sabah yang berjaya menarik ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa setiap tahun.
“Acara ini menjadi platform untuk memelihara dan mempromosikan tradisi unik masyarakat Bajau Laut khususnya kepentingan perahu lepa di samping memperkukuh penghargaan terhadap budaya serta pembangunan sektor pelancongan di Semporna,” katanya ketika melancarkan acara itu pada Isnin.
Program akan dimulakan pada 20 Jun (Sabtu) dengan upacara menaikkan Sambulayang di Dataran Bandar Utama dari jam 6 petang hingga 10.30 malam.
Pusingan pemilihan Ratu Lepa akan diadakan di Dewan Arena Masyarakat, Semporna bermula jam 7 pagi hingga 5.30 petang pada 24 Jun.
Persiapan bagi acara kemuncak akan diteruskan dengan raptai penuh pada keesokan harinya bermula jam 9 pagi di Padang Bandaran dan Dataran Regatta Lepa.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dijangka menyempurnakan majlis perasmian Maglami-Lami Sangom pada malam 26 Jun di Dataran Regatta Lepa.
Majlis penutupan atau Sangom Penanghuhan pula akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman pada malam 27 Jun di Padang Pekan Semporna.
Turut hadir pada majlis pelancaran ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Josie Lai Ming Sing serta Timbalan Setiausaha Tetap Datin Dr Cleopatra @ Claire Asing dan Datuk Nor Asiah Mohd Yusof.