JOHOR BAHRU: Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menyegerakan keseluruhan proses tindakan undang-undang melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, khususnya berkaitan penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan termasuk bahan api.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP), baru-baru ini, yang memutuskan agar proses siasatan, pendakwaan serta pendengaran di mahkamah dipercepatkan bagi memastikan tindakan lebih berkesan dan menyeluruh.
Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan pihak yang terlibat dalam kegiatan penyelewengan dihadapkan ke muka pengadilan dengan segera, sekali gus bertindak sebagai mekanisme pencegahan serta pengurusan risiko.
“Pendekatan ini akan memperkukuh penguatkuasaan dalam menangani isu ketirisan barang kawalan, khususnya petrol dan diesel, serta menjamin keterjaminan bekalan untuk rakyat dan kegunaan domestik.
“KPDN juga telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara serta Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, yang masing-masing memberikan maklum balas positif terhadap usaha mempercepatkan proses perundangan ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, Khamis lalu.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, KPDN turut memperkemaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pengendalian kes, khususnya melibatkan serahan daripada agensi penguatkuasaan lain kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDN, bagi memastikan penyediaan kertas siasatan dapat diselesaikan dalam tempoh lebih singkat sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan.
Advertisement

Katanya, antara penambahbaikan yang dicadangkan termasuk penyediaan saluran perbicaraan ‘fast-track’, pelantikan hakim khusus serta penyelarasan pasukan pengurusan kes antara agensi bagi mempercepatkan proses pendengaran dan pelupusan kes.
“Keutamaan akan diberikan kepada pendakwaan kes melibatkan kartel sindiket, manakala pendekatan perundingan akuan akan digunakan bagi kes-kes kecil untuk mempercepatkan penyelesaian.
“Langkah ini adalah mesej tegas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, Armizan memaklumkan pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang bermula 16 Mac lalu sehingga 22 April, menyaksikan 20,020 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara, menghasilkan 362 kes dengan 105 individu ditahan.
Daripada jumlah itu, katanya, kes melibatkan penyelewengan diesel mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 157 kes, diikuti petrol (78 kes), gas petroleum cecair atau LPG (49 kes), minyak masak (42 kes), gula (26 kes) dan tepung gandum (10 kes).
“Tindakan penguatkuasaan yang lebih agresif amat penting dalam situasi semasa berikutan krisis tenaga global yang tercetus akibat konflik Asia Barat sejak 28 Februari lalu, yang kini turut memberi kesan kepada bekalan global.
“Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima implikasi krisis ini, justeru usaha membanteras ketirisan perlu diperkukuh bagi memastikan bekalan mencukupi untuk rakyat,” tegasnya.
Terdahulu, beliau berkata, Ops Tiris 4.0 yang diaktifkan susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan merangkumi sektor daratan, sempadan dan perairan.
Beliau berkata, KPDN menerajui operasi di sektor daratan, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetuai sektor sempadan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi sektor perairan.
Sehubungan katanya, KPDN akan terus memperhebat penguatkuasaan melalui pendekatan berasaskan risikan, penggunaan data serta kerjasama strategik merentas agensi.
“Melalui inisiatif Kita Gempur (Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan), orang ramai diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez Adu KPDN,” katanya.