Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menghargai komitmen Kerajaan Sabah dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu meringankan kos sara hidup mahasiswa Sabah khususnya berkaitan kos perjalanan pulang ke kampung halaman.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata usaha melalui pelaksanaan Bantuan Graduan Rindu Sabah Subsidi Tiket Penerbangan (GRS/SUBFLY) serta Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (Sentosa) jelas menunjukkan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup rakyat.
Katanya melalui GRS/SUBFLY subsidi tiket penerbangan sebanyak RM600 diberikan kepada mahasiswa Sabah yang menuntut di Semenanjung, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi membantu mereka pulang ke kampung halaman khususnya ketika musim perayaan.
Menurutnya bagi 2025 seramai 19,505 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menerima manfaat melalui inisiatif itu dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM11.7 juta.
“Selain itu Kerajaan Negeri turut memperkenalkan inisiatif Sentosa yang memberi bantuan one-off RM300 sebagai subsidi pengangkutan kepada mahasiswa yang menuntut di IPT dalam negeri Sabah.
“Seramai 22,649 pelajar menerima manfaat Sentosa pada 2025 dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM6.79 juta,” katanya ketika ditemui selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa dan Mahasiswi IPT Sabah di Semenanjung pada Ahad.
Program tahunan anjuran Kumpulan Yayasan Sabah itu menghimpunkan lebih 1,200 mahasiswa Sabah yang sedang menuntut di 31 buah IPT di seluruh Semenanjung.
Dalam pada itu Armizan berkata Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) turut melaksanakan program FLYsiswa sejak 2023 bagi membantu pelajar institusi pengajian tinggi pulang ke kampung halaman melalui subsidi tiket penerbangan.
Katanya bermula tahun ini amaun baucar digital FLYsiswa ditingkatkan kepada RM400 berbanding RM300 sebelum ini.
“Bagi 2025 seramai 25,289 mahasiswa Sabah menerima manfaat FLYsiswa melibatkan 18,335 mahasiswa yang menuntut di Semenanjung dan 3,751 di Sarawak serta 3,203 di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Pelaksanaan pelbagai inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus diberi perhatian khususnya dalam menghadapi cabaran kos sara hidup semasa,” katanya.
Mengenai majlis itu Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata program itu menjadi platform penting bagi mengeratkan hubungan antara pimpinan Kerajaan Negeri dengan mahasiswa yang menuntut di perantauan.
Menurutnya ia juga membuka ruang komunikasi dua hala yang membolehkan kerajaan menyampaikan maklumat berkaitan agenda pendidikan selain memberi peluang kepada mahasiswa mengemukakan pandangan, cadangan serta pertanyaan berkaitan isu yang mereka hadapi.
“Platform komunikasi seperti ini turut membantu kerajaan menilai keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan selain merangka dasar dan program yang lebih menepati keperluan rakyat.
“Antara hasil daripada interaksi bersama mahasiswa ialah pengenalan GRS/SUBFLY oleh Kerajaan Negeri pada 2024 lalu,” katanya.