PAPAR: Semua pemimpin politik di Sabah perlu kukuhkan kesatuan bagi memastikan Sabah dan Sarawak muncul sebagai blok penting dalam menentukan pembentukan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum (PRU16) akan datang.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, landskap politik negara ketika ini menunjukkan tiada mana-mana parti atau gabungan tunggal mampu membentuk kerajaan secara stabil tanpa sokongan parti lain, sekali gus menjadikan peranan Sabah dan Sarawak semakin signifikan.
Menurutnya, situasi itu jelas dapat dilihat sejak beberapa pilihan raya lalu dan mencapai kemuncaknya pada PRU15 lalu apabila tiada satu gabungan pun memperoleh majoriti mudah secara bersendirian.
“Realitinya hari ini, pembentukan kerajaan memerlukan gabungan pelbagai parti. Dengan jumlah kira-kira 56 kerusi Parlimen dari Sabah dan Sarawak, kedua-dua wilayah ini berpotensi menjadi blok penentu kepada kerajaan Persekutuan.
“Persoalan ketika ini, bagaimana Sabah dan Sarawak memanfaatkan kelebihan ini, sama ada sekadar menjadi pelengkap pembentukan kerajaan (sebagaimana sebelum ini) atau tampil sebagai blok kukuh yang mampu menetapkan agenda nasional.
“Sarawak telah menunjukkan contoh melalui kesatuan politik tempatan yang kukuh namun malangnya, pendekatan sama masih belum sepenuhnya berlaku di Sabah.
“Justeru, kita (di Sabah) kena tanding dan menang atas satu gabungan kerusi lokal, sebagaimana Sarawak,” katanya semasa sidang media sempena Program Sentuhan, Jualan Rahmah Madani dan Advokasi Kepenggunaan, di sini, Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Bendahari Umno Sabah, Datuk Salleh Said Keruak di media sosial Facebook, bahawa Sabah dan Sarawak mampu menjadi blok Borneo yang kuat pada PRU16 akan datang.
Namun, katanya, Sabah dan Sarawak perlu bersatu serta berkongsi agenda sama yang jelas bagi memastikan kestabilan, pembangunan, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), perkongsian hasil yang adil dan pengukuhan hak negeri, tercapai.
Menurutnya, keadaan di Sarawak lebih mudah kerana kebanyakan parti adalah tempatan namun, keadaan lebih kompleks di Sabah dan memerlukan formula yang sesuai serta boleh diterima untuk menjaga kepentingan wilayah ini.
Dalam pada itu, Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung GRS berkata, keputusan PRN Sabah sebelum ini memperlihatkan kecenderungan majoriti rakyat memilih parti-parti tempatan sebagai wadah memperjuangkan kepentingan wilayah ini.
Menurutnya, rakyat Sabah sebenarnya telah memberi isyarat jelas bahawa mereka mahukan kekuatan parti tempatan supaya Sabah dapat berdiri sebagai blok politik yang kuat.
“Bagaimanapun, kesedaran rakyat ini masih belum diterjemah sepenuhnya dalam bentuk kesatuan dan pendirian di kalangan pemimpin politik Sabah walaupun rakyat sudah bersuara, tapi pemimpin masih belum bertindak ke arah itu,” tegasnya.
Sehubungan itu, Armizan menyeru khususnya pemimpin politik generasi muda agar mengambil tanggungjawab menyahut suara rakyat dengan memperkukuhkan kerjasama dan kesatuan politik tempatan.
Beliau menegaskan matlamat utama bukan sekadar membentuk blok politik yang kuat, tetapi memastikan agenda serta kepentingan Sabah dapat dijadikan antara agenda teras Kerajaan Persekutuan pada masa hadapan.
“Yang lebih penting, bagaimana kekuatan dan kesatuan itu dimanfaatkan untuk memastikan kepentingan Sabah diberi keutamaan dalam dasar dan hala tuju kerajaan pusat,” tegasnya.