PAPAR: Masalah gangguan serius bekalan air yang berlarutan di Mukim Kawang dan Kinarut kini ditangani melalui langkah mitigasi segera melibatkan kerja penyambungan silang rangkaian paip antara Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon dan kawasan terjejas.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerja penyambungan silang paip dari tangki utama P1 LRA Kogopon terus ke rangkaian paip tangki utama P3 di Kampung Kawang sedang giat dilaksanakan.
Menurutnya, penyambungan silang paip berkenaan merupakan antara langkah mitigasi segera bagi menangani gangguan bekalan air yang semakin kritikal sementara menunggu siapnya Projek Naik Taraf LRA Kogopon (Kogopon 2).
“Mengambil kira projek LRA Kogopon 2 masih berjalan dan gangguan bekalan air semakin serius, mesyuarat pada 8 Januari lalu memutuskan supaya kapasiti rawatan air di LRA Kogopon sedia ada ditingkatkan secara sementara kira-kira 10 peratus.
“Kapasiti tambahan antara 3.4 hingga 4 juta liter sehari (JLH) ini akan disalurkan terus dari P1 ke P3 bagi menampung keperluan kritikal di Mukim Kinarut dan Kawang, selain mengurangkan jarak pembekalan air daripada 33 kilometer kepada hanya 10.3 kilometer,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau status pelaksanaan kerja penyambungan silang rangkaian paip LRA Kogopon yang bermula Jumaat lepas, di sini, semalam.
Turut hadir, wakil rakyat Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; wakil rakyat Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan Pegawai Daerah Papar, Mohamad Mohd Ali.
Armizan berkata, selain penyambungan silang rangkaian paip sedia ada di dua lokasi terlibat, kerja mitigasi turut merangkumi penggantian injap di intake LRA Kogopon serta penggantian pam air di loji sedia ada.
Katanya, kerja di lapangan dilaksanakan secara berterusan 24 jam sehari, kecuali ketika hujan lebat, dan telah bermula sejak 9 Januari lalu, dengan sasaran siap sepenuhnya pada 24 Januari ini.
“Kerja penggantian injap juga memerlukan penutupan sementara loji selama kira-kira 10 jam bermula lewat malam 20 Januari ini, tertakluk kepada keadaan cuaca.
“Kesan penutupan sementara ini terhadap beberapa kawasan dalam daerah Papar akan dimaklumkan secara rasmi oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dalam masa terdekat,” katanya.
Sehubungan itu, Armizan berharap langkah mitigasi segera itu dapat mengurangkan gangguan bekalan air yang serius, sekali gus menangani masalah catuan yang telah lama dihadapi penduduk di Kinarut dan Kawang.
“Saya berharap langkah mitigasi ini dapat mengurangkan masalah gangguan air di kedua-dua mukim sehingga penyelesaian jangka panjang dicapai dengan siapnya LRA Kogopon 2 pada suku keempat tahun ini.
“Kita ikhtiarkan sehabis baik untuk menghentikan kesusahan yang dialami penduduk setempat sejak sekian lama,” katanya.
Untuk rekod, projek Kogopon 2 yang telah bermula pada Ogos 2023 dijangka menambah kapasiti bekalan air sebanyak 40 JLH sebaik siap sepenuhnya pada Ogos tahun ini.