KEMABONG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan terus mempergiat usaha secara lebih proaktif dan produktif dalam membasmi kemiskinan, selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menterinya, Datuk Rubin Balang berkata, inisiatif membasmi kemiskinan khususnya di kawasan luar bandar dan persisir pantai bukan sahaja bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat, malah berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri agar setanding dengan negeri-negeri lain.
“Kami akan mengemukakan kertas cadangan kepada kabinet nanti tentang hala tuju dan bagaimana kita melangkah untuk membangunkan rakyat di kawasan luar bandar dan juga pesisir pantai supaya bukan sahaja rakyat terkeluar daripada kepompong kemiskinan tetapi juga ekonomi kita meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Hari Natal dan Tahun Baharu 2026 Peringkat Daerah Kecil Kemabong yang berlangsung di Dewan Sri Ontoros, Kemabong, Sabtu.
Tambahnya, selain menyampaikan bantuan sedia ada, pihaknya juga akan bekerjasama dengan kementerian lain dalam meningkatkan ekonomi rakyat seperti dalam bidang pertanian dan keusahawanan.
Sementara itu, sempena sambutan perayaan pertama selepas Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 dilaksanakan, Rubin berharap rakyat berbilang kaum dan kepercayaan dapat mengambil peluang untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan kehormanian.
Katanya, walaupun berbeza sokongan politik pada PRN lalu, sambutan Krismas dan tahun baharu wajar dijadikan ruang untuk kembali merapatkan hubungan, memupuk keharmonian serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Saya menyarankan dan berseru kepada seluruh rakyat khasnya di DUN Kemabong supaya bertaut kembali dan bersatu semula setelah kita selesai mengadakan pilihan raya PRU17 walaupun mempunyai ideologi politik yang berbeza,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong berkata, pihaknya akan terus komited membantu masyarakat tanpa mengira perbezaan fahaman politik, agama dan kaum.
Majlis yang dihadiri oleh lebih kurang 3,000 pengunjung itu turut dihadiri Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar, Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin pemimpin-pemimpin masyarakat setempat dan pemimpin-pemimpin gereja.