TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menyifatkan kejayaan pelaksanaan Kampung Angkat Madani (KAM) di Kampung Inderasabah sebagai pencapaian membanggakan koordinator barisan hadapan keselamatan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Esscom Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali menyifatkan kejayaan itu juga menjadi penanda aras untuk langkah pengukuhan hubungan dengan anggota masyarakat khususnya komuniti maritim di Kawasan Sabah Timur (Esszone).
“Secara umumnya kita melihat rakyat sedar tentang kepentingan keselamatan dan tanggungjawab memastikan keamanan negara tidak semata-mata terletak di bawah pasukan keselamatan kerana kita semua mempunyai peranan masing-masing.
“Kita tidak boleh hanya berharap dengan anggota keselamatan untuk menjaga sepanjang 1,400 kilometer (km) pantai Esszone, jadi anggota masyarakat perlu menjadi mata dan telinga yang konsisten,” katanya.
Dr Jamaluddin berkata demikian sempena Majlis Penyerahan Projek Siap KAM dan Program Kembali Ke Sekolah Esscom di Inderasabah pada Sabtu yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Menurutnya kesedaran keselamatan selepas 12 tahun Esscom beroperasi menunjukan maklum-balas positif diterima khususnya melibatkan hubungan duahala antara anggota masyarakat dengan pihak mereka.
“Hubungan erat dengan anggota masyarakat akan terus diperkasakan termasuk melalui projek-projek baharu untuk melibatkan anak muda dan meningkatkan kesedaran keselamatan secara keseluruhan,” katanya.
Menyentuh projek KAM pula beliau berkata semua projek yang dirancang di Inderasabah sudah berjaya disempurnakan menggunakan peruntukan sebanyak RM1 juta yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan.
Projek itu diusahakan semenjak 11 Februari melalui siri libat urus, lawatan tapak dan mesyuarat teknikal sementara kelulusan penyaluran peruntukan kepada Esscom pula diputuskan pada 1 Mac sebelum dilancarkan secara rasmi pada 4 Julai.
“Kini kita tidak lagi bercakap mengenai perancangan tetapi penyerahan hasil kepada komuniti kampung ini yang sekaligus menjadi bukti setiap inisiatif yang dirancang sudah diterjemahkan kepada pelaksanaan nyata.
“Melalui KAM kita berhasil melaksanakan projek fizikal seperti pembinaan pintu gerbang kampung, pemasangan lampu solar, penaiktarafan titian dan laluan ke jeti, pembaikan bangunan Taska Kemas, penambahbaikan kemudahan Sekolah Kebangsaan (SK) Inderasabah, astaka padang kampung, Masjid Al Furqan dan Gereja St Joseph.
“Malah projek kesejahteraan rakyat seperti kursus kemahiran dan keusahawanan komuniti serta aktiviti gotong-royong turut dilaksanakan sepenuhnya dengan penglibatan aktif penduduk kampung,” ujarnya.
Mengulas lanjut Esscom optimis akan ada lebih banyak program seumpama itu pada masa hadapan khususnya yang melibatkan pembangunan belia, sukan dan ekonomi di kawasan-kawasan Esszone lain tanpa tertumpu kepada satu tempat semata-mata.
Nizam yang ditemui berterima kasih kepada Kerajaan Madani kerana memilih Inderasabah sebagai penempatan tunggal atau projek perintis pelaksanaan KAM - Esscom yang terbukti memberikan impak positif ketara.
“Kita berterima kasih dengan perhatian Perdana Menteri kepada kawasan luar bandar dari segi meningkatkan infrastruktur dan kesejahteraan penduduk selain agensi-agensi pelaksana seperti Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Pusat Giat Mara.
“Sembilan projek infrastruktur sudah berjaya dilaksanakan bahkan turut menambahbaik kesejahteraan penduduk kampung manakala hubungan erat yang dijalin dengan Esscom memberikan keyakinan kepada warga terhadap pasukan keselamatan”, katanya.
Tambahnya pendekatan KAM juga dilihat sebagai pendekatan yang cukup baik oleh Kerajaan Madani memandangkan program terbabit memberikan banyak manfaat kepada golongan sasar malah tidak pernah dilaksanakan dalam era kerajaan terdahulu.