Kota Kinabalu: Mahkamah Majistret pada Rabu menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara ke atas seorang lelaki kerana memiliki motosikal curi.
Rodimar Kimar mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas pertuduhan memiliki skuter Nova 125 Aveta milik Noor Hidayuhanna Rebbin di kawasan semak berhampiran tepi jalan di pintu masuk Kampung Cenderakasih, Kolombong pada 7 Oktober tahun ini, jam 11.40 malam.
Pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa pengadu membuat laporan polis pada jam 9.45 pagi, 4 Oktober selepas mendapati motosikalnya yang diparkir di Blok A, Seri Warisan Apartment, Inanam hilang.
Hasil siasatan mendapati pengadu terakhir melihat motosikal itu pada jam 11 malam, 3 Oktober.
Apabila ingin menggunakanya pada jam 8 pagi keesokan harinya dia menyedari motosikal itu telah dicuri.
Bertindak atas maklumat yang diterima polis menahan Rodimar pada jam 11.40 malam, 7 Oktober.
Mengikut arahan Rodimar polis merampas sebuah skuter Nova 125 Aveta berwarna merah yang kemudian dikenal pasti oleh pengadu sebagai harta curinya.
Rodimar yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dan agar tempoh hukuman bermula dari tarikh penahananya sambil memberi jaminan tidak akan mengulangi kesalahan.
Pihak pendakwaan memohon hukuman yang memberi pengajaran serta cadangan supaya Rodimar dirujuk kepada Jabatan Imigresen.
Mahkamah memerintahkan Rodimar menjalani hukuman penjara dari tarikh penahananya dan diarahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.