Kota Kinabalu: Kira-kira 150 atlet bersedia untuk berentap dalam Kejohanan Bina Badan Mr Borneo di Dewan Kebudayaan Penampang Ahad ini.
Bendahari Persatuan Bina Badan Negeri Sabah (SBBA) Jeffery Thaddeus yang mengetuai delegasi melawat Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Penampang Noemi Dyena Johntren baru-baru ini berkata mereka amat gembira dengan jumlah penyertaan tahun ini.
“Pendaftaran yang ditutup pada 5 Disember lalu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 150 atlet dari Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia,” katanya.
Menurutnya, lapan kategori yang akan dipertandingkan pada tahun ini ialah Body Smart First Timer, Body Smart Model, Sport Physique Lelaki 170cm ke bawah, Sport Physique Lelaki 170cm ke atas, Bina Badan Lelaki bawah 70kg, Bina Badan Lelaki atas 70kg, Bina Badan Wanita dan Athletic Physique Wanita.
Sesi melapor diri akan diadakan esok (Jumaat) di bilik mesyuarat urusetia Dewan Kebudayaan Penampang.
Jeffery juga berkata pertandingan itu turut menawarkan tiket makan malam berharga RM3,000 dan RM2,000 untuk satu meja, selain penjualan makanan tambahan bina badan dan pakaian gim.
Dia menyeru orang ramai untuk hadir menyokong pertandingan tersebut dan maklumat lanjut boleh diperoleh daripada Alik Makim melalui WhatsApp di talian 013-8833585.