Kota Kinabalu: Seorang hakim Mahkamah Sesyen di sini menegur seorang peguam bela yang memohon untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuah atas alasan peguam terbabit berhasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Hakim Elsie Primus memberikan peringatan tegas itu apabila seorang lagi peguam yang mewakili bakal calon pilihan raya berkenaan memohon agar perbicaraan ditangguhkan.
“Kes ini dari tahun 2023 dan saya percaya semua dokumen sudah diserahkan... Jangan berbohong di mahkamah.
“Jadi, kalau dia mahu jadi calon PRN17, kita perlu tunggu keputusan pilihan raya dahulu dan baru sambung kes ini? Saya tidak akan tangguhkan kes ini. Tolong sampaikan mesej saya kepadanya. Dan jika dia menang, hanya perlu tulis surat kepada mahkamah,” kata Hakim Elsie semasa prosiding yang dijalankan melalui Zoom.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan pada 1 hingga 3 Disember tahun ini.
Peguam yang dimaksudkan itu mewakili Bakruni Juani, seorang pemilik syarikat yang didakwa atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM556,900 di bawah program Penjana Kerjaya 1.0 dan 2.0.
Bakruni didakwa mengemukakan nama 99 pekerja syarikat Aquamiste Legacy kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah skim insentif itu, dengan niat untuk memperdaya dan mengelirukan agensi berkenaan.
Siasatan kemudian mendapati sebahagian individu yang disenaraikan bukanlah pekerja sebenar syarikat itu.
Dia dibebaskan dengan jaminan.