Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebulat suara bersetuju menerima Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) sebagai parti komponen baharu gabungan itu, sekali gus memperkukuh landskap politik negeri dan kerajaan negeri sedia ada.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang dipengerusikan Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Khamis.
Advertisement
.gif)
Mengumumkan keputusan itu pada sidang media selepas mesyuarat, Hajiji berkata semua parti komponen GRS sebulat suara meluluskan permohonan Upko dan bersetuju keanggotaannya berkuat kuasa serta-merta.
“Kita sebulat suara bersetuju menerima Upko sebagai ahli baharu GRS.
“Penerimaan ini selaras dengan perjuangan GRS sendiri iaitu ‘Sabah First, Sabah United’ serta untuk memperkukuh parti-parti tempatan.
“Kita mahu memastikan kestabilan kerajaan negeri yang ada,” katanya.
Beliau berkata Upko secara rasmi menjadi anggota GRS bermula Khamis (18 Jun) selepas mendapat persetujuan sebulat suara.
“Mulai hari ini, Upko secara rasmi menjadi ahli GRS dan perkara ini akan dimaklumkan kepada Upko selepas ini.
“Semua bersetuju. Kita mahu memperkukuh GRS. Oleh itu, tiada sebarang kebimbangan atau isu lain ketika ini,” katanya.
Kelulusan itu dibuat kurang sebulan selepas Upko mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai GRS pada 29 Mei lalu, apabila Presidennya, Datuk Ewon Benedick menyerahkan sendiri surat permohonan kepada Hajiji.
Ketika itu, Upko memaklumkan keputusan untuk menyertai GRS didorong oleh keperluan memperkukuh perpaduan parti-parti tempatan Sabah, memajukan agenda “Sabah First” serta memperkukuh pendirian Sabah dalam isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak perlembagaan negeri.
Parti itu juga menyatakan objektifnya selaras dengan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang diterajui kerajaan negeri pimpinan GRS.
Kemasukan Upko menyusuli perubahan besar dalam haluan politik parti itu sepanjang lima tahun lalu.
Upko secara rasmi menjadi parti komponen Pakatan Harapan (PH) pada Ogos 2021 selepas meninggalkan Barisan Nasional (BN) susulan Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 dan seterusnya menyokong pentadbiran Warisan-PH di Sabah.
Bagaimanapun, pada November 2025, Upko mengumumkan pengunduran serta-merta daripada PH selepas mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi.
Parti itu menyatakan hasrat memperkukuh agenda “Sabah First” serta perbezaan pandangan dengan kepimpinan PH di peringkat nasional berhubung beberapa isu melibatkan Sabah, termasuk tuntutan hasil 40 peratus negeri, tafsiran dan pelaksanaan MA63, autonomi lebih besar kepada PH Sabah serta kedudukan perlembagaan Sabah dalam Persekutuan.
Pengunduran itu turut menyaksikan Ewon meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Persekutuan.
Kemasukan Upko sekali lagi mengubah komposisi GRS yang telah melalui beberapa perubahan sejak ditubuhkan menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah 2020.
GRS pada awalnya diwujudkan sebagai pakatan politik yang menghimpunkan Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi menentang pentadbiran Warisan Plus ketika itu.
Gabungan tersebut kemudiannya memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji.
Apabila GRS didaftarkan secara rasmi pada 2022, parti komponen pengasasnya terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu Sabah), PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP), sebelum Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) menyertai gabungan itu sebagai komponen kelima.
Selepas pemimpin Bersatu Sabah meninggalkan parti itu pada penghujung 2022, Hajiji bersama sebahagian besar penyokongnya menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), yang kemudiannya muncul sebagai kuasa politik dominan dalam GRS.
Sebelum pengunduran Star, SAPP dan Usno, GRS dianggotai Gagasan Rakyat, PBS, Star, SAPP, Usno, Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Cinta Sabah (PCS) serta ahli langsung GRS.
Perbezaan pendirian politik berhubung persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri 2025 dan kerjasama GRS dengan PH Sabah akhirnya membawa kepada perpecahan, apabila Star, SAPP dan Usno meninggalkan gabungan itu dalam tempoh penjajaran semula politik.
Pengunduran mereka menjadikan GRS sebuah gabungan yang lebih kecil dengan Gagasan Rakyat sebagai teras utama, bersama PBS, LDP, PHRS, PCS dan ahli langsung sebagai komponen sedia ada.
Dengan kemasukan Upko, GRS sekali lagi memperluaskan barisannya sekali gus memperkukuh visi Hajiji untuk menyatukan parti-parti tempatan Sabah di bawah platform “Sabah First, Sabah United” menjelang pilihan raya negeri akan datang.