LAHAD DATU: Seorang pelancong warga Jerman berusia 78 tahun meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti snorkel di perairan Pulau Sakar, Rabu.
Kenneth Ray Crouse, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.
Advertisement
.gif)
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum itu menyelaraskan operasi pemindahan perubatan (Medevac) bagi membawa mangsa ke daratan.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata pusat operasi agensi itu menerima maklumat mengenai kejadian daripada pengusaha bot kira-kira jam 11.20 pagi.
Beliau berkata pihaknya segera mengarahkan bot ronda Cenderawasih 02 yang sedang menjalankan tugas di kawasan berhampiran untuk menuju ke lokasi kejadian dan membawa mangsa ke Jeti Perikanan Lahad Datu bagi mendapatkan bantuan perubatan lanjut.
Menurutnya, rakan mangsa telah melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) di lokasi kejadian, namun mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu menerusi WhatsApp di talian 016-9305727 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan segera.