Kota Kinabalu: Seorang lelaki tanpa dokumen dijatuhi hukuman penjara 16 bulan oleh Mahkamah Majistret pada Isnin selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan merosakkan cermin sebuah kereta.
Tertuduh Rian Norlari membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas kesalahan yang dilakukan pada 18 Mac lalu kira-kira jam 12.30 tengah malam di tepi jalan Kampung Numbak, Manggatal.
Advertisement
_E.jpg)
Rian didapati merosakkan cermin sebuah Perodua Axia milik Md Azman Absarun sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM60.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes yang dibentangkan oleh pegawai pendakwa Inspektor Yusdi Basri, rakan kepada pemilik kenderaan telah menghubungi mangsa selepas melihat tertuduh memecahkan cermin kereta tersebut.
Tertuduh kemudiannya berjaya ditahan dengan bantuan penduduk kampung.
Advertisement

Tanpa diwakili peguam Rian memohon supaya dihantar pulang ke negara asal secepat mungkin.
Pendakwaan memohon hukuman berbentuk pencegahan serta agar tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen memandangkan statusnya sebagai individu tanpa dokumen.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuatkuasa dari tarikh tangkapan dan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.
Dalam kes berasingan seorang lelaki penganggur didenda RM1,400 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah memiliki barangan curi.
Roslan Abdullana, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas pertuduhan memiliki kipas dinding curi milik Isam Lani pada 24 Mac lalu kira-kira jam 8.30 malam di sebuah rumah setinggan di Kampung Numbak, Alamesra.
Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa kipas dinding itu dilaporkan hilang dari rumah pengadu yang dipecah masuk kira-kira jam 3 petang pada hari sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.