Kota Kinabalu: Advokasi Hak Asasi dan Akses kepada Ilmu (Anak) menyifatkan tempoh 45 hari bagi pendaftaran kelahiran di Sabah berbanding 60 hari di Semenanjung sebagai tidak adil sekaligus meletakkan kelahiran di negeri ini dalam keadaan tidak seimbang.
Pengarah Eksekutifnya Anne Baltazar
(gambar) berkata kelewatan pendaftaran kelahiran memerlukan prosedur pentadbiran tambahan selain jurang dokumentasi yang boleh menyumbang kepada risiko kesihatan awam dan perlindungan kanak-kanak.
Advertisement
.gif)
Beliau merujuk kepada wabak polio di Sabah sebelum pandemik Covid-19 serta peningkatan risiko eksploitasi, buruh kanak-kanak dan pemerdagangan manusia dalam kalangan kanak-kanak tanpa dokumen.
Anne berkata demikian ketika menjadi panel dalam sesi “Right to Identity: Children without Documentation, Migrants and Statelessness” pada satu simposium bertemakan “The Child Act 2001 and the Convention on the Rights of the Child (CRC): Good Practices” di Parlimen pada 8 dan 9 Jun.
Beliau menekankan bahawa isu tanpa kerakyatan bukan hanya melibatkan migran dan pelarian tetapi turut membabitkan komuniti Orang Asal di kawasan pedalaman Sabah yang menghadapi kesukaran mengakses perkhidmatan pendaftaran kelahiran.
Menurutnya tujuh daripada 10 daerah termiskin di Malaysia untuk kanak-kanak terletak di Sabah dengan cabaran geografi dan kos pengangkutan menjadi halangan utama kepada proses pendaftaran kelahiran.
Dapatan daripada Laporan Alternatif CSO kepada Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2024) serta Indeks Kesejahteraan Kanak-Kanak Sabah yang baharu diterbitkan turut menunjukkan keadaan yang membimbangkan.
Indeks itu mendapati hanya 6.1 peratus kanak-kanak yang dikaji memenuhi tahap hidup dalam persekitaran selamat manakala bagi kanak-kanak tanpa dokumen, hanya 0.6 peratus mencapai tahap kesihatan asas.
Anak menyambut baik gesaan reformasi oleh ahli Parlimen dan pemimpin hak kanak-kanak serta menggesa kerajaan melaksanakan pembaharuan menyeluruh termasuk mempermudahkan prosedur pendaftaran kelahiran, menarik balik pengecualian terhadap Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC), khususnya Artikel 2 dan 7, serta meminda Akta Kanak-Kanak 2001 bagi melindungi semua kanak-kanak tanpa mengira status dokumentasi.
Beliau turut mencadangkan supaya penahanan imigresen terhadap kanak-kanak dihentikan dan digantikan dengan pendekatan berasaskan komuniti selain memperluaskan mandat perlindungan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta memperkukuh perkhidmatan pendaftaran kelahiran bergerak di kawasan pedalaman Sabah.
“Pendaftaran kelahiran tidak secara automatik memberi kewarganegaraan tetapi ia adalah hak asasi manusia.
“Ketiadaan dokumen tidak sepatutnya bermakna kehilangan zaman kanak-kanak,” katanya.
Anak kekal komited memperjuangkan hak kanak-kanak terpinggir di Sabah melalui advokasi, sokongan undang-undang, pendidikan dan inisiatif perlindungan kanak-kanak.
Pertubuhan itu juga merupakan ahli gabungan Child Rights Coalition Malaysia (CRCM).