Kota Kinabalu: Perbicaraan melibatkan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang didakwa menerima dan memberi rasuah berjumlah RM350,000 berkaitan permohonan lesen penerokaan mineral di Sabah ditangguhkan sementara menunggu keputusan Notis Usul (Notice of Motion, NOM) di Mahkamah Tinggi.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan membabitkan bekas Adun Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob dan Adun Tanjung Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang sepatutnya didengar pada Isnin.
Advertisement
.gif)
Mahkamah membatalkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada 16, 18 dan 19 Jun serta menetapkan semakan secara dalam talian (e-review) pada Julai bagi mengetahui status permohonan di Mahkamah Tinggi.
Semasa prosiding mahkamah dimaklumkan bahawa Dr Yusof dan Andi telah memfailkan NOM bagi memohon kes mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.
Bagaimanapun pihak pembelaan memaklumkan keputusan berhubung permohonan tersebut masih belum diperoleh dan setakat ini tiada tarikh pendengaran ditetapkan.
Pada 30 Jun 2025 Dr Yusof, 69, dan Andi Suryady, 44, yang juga Ahli Parlimen Kalabakan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah yang dikenakan ke atas mereka.
Dr Yusof didakwa menerima rasuah RM200,000 daripada seorang ahli perniagaan Datuk Tei Jiann Cheing atau lebih dikenali sebagai Albert Tei sebagai dorongan untuk memudahkan permohonan lesen pencarian bagi penerokaan mineral di Sabah di sebuah hotel di sini pada jam 2 petang, 6 Mac 2023.
Andi Suryady pula didakwa menerima rasuah RM150,000 daripada Tei sebagai dorongan bagi memudahkan permohonan lesen yang sama di kediamannya pada jam 11 malam, 12 Mei 2023.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding terdahulu pihak pendakwaan memaklumkan bahawa mereka mempunyai seramai 40 saksi untuk dipanggil memberi keterangan.
Dr Yusof dan Andi diwakili peguam Datuk Ram Singh, Ridzwandean Bukhary M Borhan, Shahlan Jufri dan Elhanan James manakala Datin Jaharah Patimbangi turut mewakili Andi Suryady.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar.
Mahkamah turut melanjutkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh sehingga kes mereka selesai.
Sementara itu Tei yang didakwa menawarkan rasuah berjumlah RM350,000 kepada kedua-dua ahli politik terbabit juga masih menunggu perbicaraannya selepas kes berkenaan turut ditangguhkan dalam prosiding sebelum ini.