Sun, 19 Apr 2026
Headlines:
Wali Band lunas hajat tertangguh
Published on: Friday, April 17, 2026
Published on: Fri, Apr 17, 2026
By: Kazalinah Kamaludin
Text Size:
Text:
Wali Band lunas hajat tertangguh
WALI Band menunjukkan simbol kumpulan itu selepas konsert berakhir.
‘ENJOY’ dan puas! Mungkin itu yang boleh disimpulkan daripada Konsert Wali Live in Kota Kinabalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hujung minggu lalu.

Konsert ini bukan sekadar sebuah acara malah menjadi penebus kekecewaan buat Wali Band dan peminat di Sabah untuk akhirnya menikmati momen yang tertangguh apabila konsert mereka yang dijadualkan berlangsung di Kota Kinabalu pada 2024 tidak menjadi kenyataan.

Advertisement
Lebih 3,000 peminat yang rata-rata berpakaian hitam mengikut tema konsert tidak jemu menyanyi bersama kumpulan pop Melayu dari Indonesia itu sejak awal persembahan hingga tirai ditutup.

KERINDUAN peminat terubat selepas Wali Band gagal  mementaskan konsert solo di Sabah sekitar dua tahun lalu.Malam itu menyaksikan penonton dihiburkan dengan lebih 20 rangkaian lagu popular Wali Band termasuk Emang Dasar, Ada Gajah Di Balik Batu, Yank, Baik-Baik Sayang, Dik, Tomat, Aku Bukan Bang Toyyib dan Cari Jodoh.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Sebelum Wali Band naik ke pentas, persembahan terlebih dahulu dibuka oleh penyanyi tempatan Elica Paujin tepat jam 8.15 malam menerusi lagu Momuhobo dan Sial.

Persembahan kemudian diteruskan oleh Lan Typewriter dengan lagu Jangan Khianati Aku dan Laguku Untukmu. Biarpun sekadar artis pembukaan, kehangatan penonton sudah dapat dirasai apabila mereka mula menyanyi bersama Elica dan Lan.

Advertisement
Penantian peminat berakhir apabila Wali Band yang dianggotai Faank selaku vokalis, Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (keyboard) akhirnya muncul tepat jam 8.45 malam dengan lagu Cari Berkah dan Si Udin Bertanya.

 FAANK dan ahli-ahli Wali Band yang lain melayan penonton yang ingin bersalaman dan bergembar bersama mereka.Berhenti seketika, Faank sempat melaungkan ‘onsoi’ kepada penonton sebelum meneruskan persembahan.

Advertisement
Adrenalin penonton semakin memuncak tatkala lagu Nenekku Pahlawan dinyanyikan. Dewan Kinabatangan SICC bergema dengan sorakan ‘haha’, ‘huhu’ dan ‘kuat-kuat’ yang juga sebahagian daripada lirik lagu terbabit.

Suasana kembali ‘tenang’ apabila Apoy mengambil alih pentas menerusi persembahan gitar solo.

Pada jam 9.15 malam, Faank kembali untuk segmen seterusnya dengan repertoir lagu yang lebih popular antaranya Emang Dasar, Kekasih Halal, Yang Penting Halal dan Ada Gajah Di Balik Batu.

Biarpun hanya sesekali Faank menyapa penonton sepanjang konsert, kumpulan itu lebih memilih untuk menghiburkan peminat dengan persembahan tanpa henti.

Situasi ini membangkitkan mood ‘enjoy’ dalam kalangan peminat kumpulan yang ditubuhkan pada 1999 itu sekali gus memberikan kepuasan besar kepada penonton pada malam yang cukup diingati itu.

Antara momen paling diingati pastinya apabila Faank berdoa untuk kesejahteraan dan kebebasan rakyat Palestin serta tidak melupakan penonton yang hadir.

Selepas kira-kira 10 minit berdoa, persembahan diteruskan dengan rangkaian lagu yang lebih melankolik seperti Doaku Untukmu Sayang, Baik-Baik Sayang dan Harga Diri.

Lagu-lagu yang dipersembahkan secara akustik itu turut menyentuh emosi penonton sehingga ada yang menitiskan air mata.

Namun, suasana kembali ‘panas’ apabila lagu Yank yang cukup sinonim dengan Wali Band dipersembahkan dengan penonton bukan sahaja menyanyi bersama malah ada yang bangun dari tempat duduk masing-masing.

Apabila konsert menghampiri kemuncak, penonton berpusu-pusu ke arah pentas utama untuk mendekati kugiran itu tatkala lagu Aku Bukan Bang Toyyib dimainkan sebelum Wali Band menutup persembahan dengan lagu Cari Jodoh.

Ditemui selepas konsert berakhir, Faank atau nama sebenar Farhan Zainal Muttaqin tidak henti mengucapkan syukur atas kejayaan konsert terbabit.

“Alhamdulillah, kami dapat datang ke Kota Kinabalu bertemu dengan peminat-peminat Wali di sini.

“Pada malam ini, kami akhirnya dapat menebus kekecewaan kami dan juga peminat di Sabah selepas perancangan untuk mengadakan konsert di sini dua tahun lalu tidak kesampaian.

“Melihat sambutan mereka tadi, kami sangat terharu kerana ia memang di luar jangkaan kami.

“Tenaga dan sambutan penonton malam ini memang luar biasa dan tidak kurang hebatnya seperti di Indonesia,” katanya.

Faank juga tidak menolak kemungkinan untuk Wali Band membuat persembahan di bahagian lain di Sabah.

“Jika ada undangan, kenapa tidak,” katanya sambil ‘bercanda’.

Selepas konsert di Kota Kinabalu, Wali Band bakal mengadakan Konsert Wali Kembali 2026 di Stadium Hoki Kuala Lumpur pada 1 Mei ini.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here