Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Sabah (SUIPTS) 2026 selepas mengutip 29 pingat emas, 13 perak dan lima gangsa.
Sebanyak 23 institusi pendidikan tinggi (IPT) dari seluruh Sabah mengambil bahagian dalam kejohanan terbabit.
Tempat kedua menjadi milik Universiti Teknologi Mara Cawangan Sabah (UiTMCS) dengan kutipan lima emas, enam perak dan 10 gangsa, manakala tempat ketiga diraih Kampus Antarabangsa Labuan Universiti Malaysia Sabah (UMSKAL) menerusi empat emas, dua perak dan lima gangsa.
Majlis penutupan yang berlangsung di Dewan Auditorium Pascasiswazah UMS pada Ahad disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Dr. Hanafiah Ayub.
Menurut beliau, platform SUIPTS bukan sekadar medan persaingan untuk merebut pingat, malah berperanan sebagai wadah penyatuan dalam kalangan pelajar daripada pelbagai latar belakang.
“Kejohanan ini merupakan medium penting dalam pembentukan disiplin, nilai integriti, semangat berpasukan dan jati diri dalam kalangan pelajar IPT.
“Penyertaan aktif serta semangat kesukanan yang dipamerkan sepanjang kejohanan mencerminkan komitmen tinggi warga IPT terhadap pembangunan sukan dan modal insan.
“Pengalaman ini menjadi batu loncatan untuk mereka terus bersaing pada peringkat yang lebih tinggi, sama ada dalam bidang akademik mahupun sukan,” katanya.
Turut hadir pada majlis penutupan ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS Profesor Dr. Raman Noordin.