Kota Kinabalu: Persatuan Tabung Jantung Sabah (SOSHF) mengalu-alukan rancangan penubuhan Institut Jantung Negara (IJN) Sabah serta menggesa agar perkhidmatan kardiak pediatrik diberi keutamaan di kemudahan baharu itu.
“Bagi seorang kanak-kanak yang dilahirkan dengan kecacatan jantung, masa adalah nyawa.
Advertisement
_E.jpg)
“Membawa perkhidmatan kardiak khusus ke Sabah bermakna memberi kanak-kanak itu bukan sekadar rawatan, tetapi masa depan,” kata Presiden SOSHF, Datuk Eva Susau
(gambar).
Menurut beliau, selama lebih 44 tahun SOSHF telah membantu kanak-kanak dari komuniti paling rentan di Sabah.
“Ramai daripada mereka dilahirkan dengan kecacatan jantung kongenital yang memerlukan diagnosis awal, pembedahan tepat pada masanya serta rawatan susulan jangka panjang.
“Namun sehingga kini, keluarga masih terpaksa berdepan perjalanan jauh, kelewatan rawatan serta beban kewangan dan emosi yang besar,” katanya.
Advertisement

Eva berkata cadangan penubuhan pusat IJN Sabah di Likas turut memberi makna tambahan kepada rumah transit SOSHF yang baru diwujudkan dan terletak dalam jarak berjalan kaki dari tapak cadangan tersebut.
“Kemudahan ini akan menyediakan tempat perlindungan yang selamat dan menyokong pesakit serta keluarga mereka, khususnya dari kawasan luar bandar.
“Ini dapat memastikan akses yang lebih mudah kepada rawatan, rehat serta proses pemulihan sepanjang tempoh rawatan,” katanya.
SOSHF menegaskan bahawa sebuah pusat jantung yang benar-benar komprehensif perlu merangkumi Unit Kardiologi Pediatrik dan Pembedahan Kardiotorasik yang khusus.
Dengan itu, ia dapat menyediakan rawatan kardiak khusus untuk bayi baru lahir dan kanak-kanak kecil, melaksanakan sistem saringan awal serta rujukan di seluruh Sabah, termasuk di kawasan luar bandar.
Selain itu, ia juga memastikan sokongan kewangan yang mampan bagi keluarga berpendapatan rendah.
“Ini bukan sekadar membina sebuah hospital, tetapi membina keadilan dalam akses kepada perkhidmatan kesihatan,” katanya.