Sat, 27 Apr 2024

HEADLINES :


Trend usahawan semakin meningkat
Published on: Tuesday, January 14, 2020
By: Hayati Dzulkifli
Text Size:

Trend usahawan semakin meningkat
BONGAWAN: Terdapat trend yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu menceburi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang seiring dengan sasaran kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) untuk melahirkan 50,000 usahawan baharu setiap tahun.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Wira Dr Mohd Hatta bin Mohd Ramli berkata, kerajaan berhasrat untuk melahirkan sejumlah 250,000 usahawan baharu di negara ini selama lima tahun bermula 2018.

Beliau berkata sumbangan mereka yang menjalankan perniagaan PKS dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara adalah 37 peratus pada 2018 dan meningkat satu peratus kepada 38 peratus pada 2019.

“Walaupun peningkatan ini hanya membabitkan peratusan kecil, KDNK kita juga berkembang. Sumbangan 38 peratus itu adalah signifikan dan besar kerana kita menyasarkan untuk mencapai 50 peratus dalam masa 10 tahun, yang saya percaya kita dapat dicapai.

“Hanya pada waktu itu, negara kita boleh dikategorikan sebagai sebuah negara maju, seperti negara maju di Eropah di mana sumbangan usahawan PKS kepada KDNK masing-masing adalah sekurang-kurangnya 50 peratus.

“Dengan itu, saya yakin akan ada peningkatan peratusan sumbangan daripada peningkatan bilangan usahawan baharu kepada KDNK negara setiap tahun dengan adanya minat tinggi di kalangan rakyat Malaysia, khususnya mereka yang bekerja untuk membuka perniagaan PKS untuk melengkapkan pendapatan bulanan mereka,” katanya.

Dr Mohd Hatta berkata demikian kepada pemberita selepas membuka bengkel membuat kek dan biskut di sebuah dewan masyarakat di Kg Seri Serbang, di sini, Isnin.

Seramai 50 wanita dari kampung berdekatan mengambil bahagian dalam bengkel setengah-hari itu yang dianjur bersama oleh NGO Wanita Impian Negeri Sabah (WINS) dan Giat Mara.

Beliau berkata kementeriannya telah merekodkan lebih 50,000 usahawan baharu tahun lepas, di mana kira-kira 35,000 orang adalah daripada Tekun dan kebanyakannya membuat pinjaman pertama daripada agensi kerajaan yang menawarkan pinjaman kepada penduduk tempatan yang menceburi perniagaan PKS, manakala selebihnya daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Pembangunan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Giat Mara yang beliau tidak miliki data ketika itu.

Agensi-agensi pembiayaan mikro seperti Tekun dan AIM memainkan peranan penting untuk membantu dan memudahkan warga Malaysia yang ingin membuka perniagaan dalam kategori PKS dengan menawarkan pinjaman kepada mereka yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan modal perniagaan.

Mengenai pemerhatiannya terhadap trend-trend perniagaan di kawasan parlimen Kimanis, Dr Mohd Hatta, yang juga Setiausaha Agung Amanah, berkata beliau melihat bahawa ramai peniaga PKS menjalankan perniagaan mereka di tepi jalan dari Kimanis hingga Membakut.

“Saya melihat sebilangan peniaga PKS menjalankan perniagaan mereka di tepi jalan. Kami melihat situasi ini sebagai tradisi masyarakat tempatan di mana pada musim-musim tertentu, peniaga akan menjana pendapatan baik sementara ada masanya, pendapatannya biasa saja.

“Saya rasa mereka tidak harus terus menjalankan perniagaan mereka seperti itu kerana mereka mesti komited untuk menambah baik perniagaan mereka dari segi produk dan kualiti selain mempunyai premis yang sesuai.

“Mereka mesti komited untuk mengembang dan meningkatkan perniagaan mereka dengan mendapatkan bantuan daripada banyak agensi kerajaan berkaitan untuk membantu mereka membina kilang untuk menghasilkan produk makanan mereka yang mempunyai standard kualiti, halal dan selamat untuk dimakan,” katanya.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here