Wed, 8 May 2024

HEADLINES :


Hukuman diganti kepada penjara sepanjang hayat: Lelaki pekak, bisu antara 8 terlepas hukuman mati
Published on: Friday, April 26, 2024
By: Jo Ann Mool
Text Size:

Hukuman diganti kepada penjara sepanjang hayat: Lelaki pekak, bisu antara 8 terlepas hukuman mati
ANTARA banduan yang dibawa masuk ke dalam kenderaan Polis
Kota Kinabalu: Seorang lelaki pekak dan bisu berusia 29 tahun adalah antara lapan individu yang menyaksikan hukuman matinya digantikan kepada penjara sepanjang hayat antara 33 tahun dan 30 tahun oleh Mahkamah Persekutuan pada Khamis.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang membenarkan permohonan semakan Mohd Faizul Abdul Jalil di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan).

Hakim Zabariah mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Faizul dan menggantikannya dengan penjara sepanjang hayat 33 tahun dari tarikh dia ditangkap pada 11 Okt, 2016.

Dia juga memerintahkan 12 kali sebatan rotan ke atas Faizul.

Faizul

Pada 12 Okt, 2018, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman mati kepada Faizul selepas mendapati dia bersalah membunuh bekas teman wanitanya Asrina Sahran, 15, jam 9.10 malam pada 11 Okt, 2016 di hadapan sebuah rumah di Kg Ranau, Kota Marudu.

Faizul kalah dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 26 Nov, 2019 dan di Mahkamah Persekutuan pada 4 Okt, 2021.

Terdahulu, peguam bela Faizul, Hamid Ismail antara lain berhujah bahawa pemohon berasa kesal dengan perbuatannya dan ia bukanlah kes yang paling jarang berlaku kerana pemohon hanya menikam mangsa sekali dan turut menyerahkan diri kepada polis selepas kejadian itu serta memberikan kerjasama baik dengan polis.

Hamid mencadangkan penjara 30 tahun.

Pihak pendakwaan, sebagai responden memohon supaya hukuman mati dikekalkan dan antara lain berhujah bahawa ia adalah jenayah kejam di mana pemohon bertindak atas penolakan gemulah terhadap cadangannya malah ia hanya satu tikaman pada kawasan usus.

Namun, ia membawa maut kerana kehilangan darah.

Pihak pendakwaan berhujah sekiranya mahkamah membenarkan permohonan mereka memohon hukuman penjara tidak kurang 35 tahun.

Sementara itu, empat lagi banduan hukuman mati, yang diketepikan hukuman mati kerana membunuh dan diringankan dengan hukuman penjara ialah warga Indonesia Alsar Imagu, 44, Hasyim Rahman, 50, Rewang Tempe, 41, Baharudin @ Kadir Abu Nawas, 42.

Mereka disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi berasingan di Sandakan dan Tawau.

Mahkamah paling tinggi itu membenarkan permohonan mereka dan menggantikan hukuman Alsar dengan penjara 33 tahun manakala hukuman selebihnya digantikan kepada 30 tahun masing-masing.

Alsar, Hasyim, Rewang dan Baharudin, yang masing-masing ditahan pada 1 Ogos 2023; 25 Sept 2011; 12 Mac 2012; dan 14 Nov 2014 diperintahkan menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap.

Alsar, Rewang dan Baharudin turut diperintahkan untuk dikenakan 12 kali sebatan setiap seorang manakala Hasyim pula dikecualikan daripada sebatan kerana faktor usia.

Tiga lagi individu yang permohonan untuk semakan dibenarkan dan hukuman mati kerana mengedar dadah diketepikan dan digantikan ialah Andy Majudil, 43, dan warga asing Romi Ali, 34, Juris Rualdes, 54.

Hukuman mereka diringankan kepada penjara 30 tahun setiap seorang.

Andy, Romi dan Juris, yang masing-masing ditahan pada 19 Nov 2013, 4 Feb 2013; dan 29 Sept 2014, diperintahkan menjalani hukuman penjara itu dari tarikh mereka ditangkap.

Mereka disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi berasingan di sini dan Tawau kerana mengedar dadah seberat 7,124.25g (Juris), 1,155.96g (Romi), dan 745.6g (Andy).

Andy dan Romi juga diperintah dikenakan 12 kali sebatan rotan setiap seorang manakala Juris dikecualikan dariada sebatan ekoran faktor usia.

Dalam prosiding pada Khamis, pihak pendakwaan membantah permohonan kes pembunuhan dan tidak membantah permohonan semakan semula kes pengedaran dadah.

Ketua Jabatan Peguam Negara (Bahagian Rayuan dan Perbicaraan) Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari dan Zulkipli Abdullah tampil bagi pihak pendakwaan sebagai responden.

Alsar, Hasyim dan Baharudin diwakili peguam Farazwin Haxdy, manakala Rewang dan Romi diwakili peguam Jhassary Kang manakala peguam Shahlan Jufri mewakili Andy dan Juris.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here