Tue, 30 Apr 2024

HEADLINES :


KhayCoustica tetap busking di Hari Raya
Published on: Saturday, April 13, 2024
By: Kazalinah Kamaludin
Text Size:

KhayCoustica tetap busking di Hari Raya
KHAYCOUSTICA muncul dengan single pertama mereka, Tergoda pada 26 Mac lalu.
MESKIPUN Syawal, anggota kumpulan KhayCoustica akan terus mencari rezeki selaku penghibur jalanan.

Ketua dan vokalis Khay Latif berkata selagi ada peluang mereka akan terus berbusking tanpa mengira musim perayaan.

Bagaimanapun, katanya, mereka akan mengosongkan jadual seni dari raya pertama hingga ketiga untuk fokus meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

“Dalam kumpulan kami, majoritinya adalah pemuzik sepenuh masa kecuali dua orang yang memang perlu fokus dengan kerja hakiki. 

“Tahun ini, saya dan isteri akan beraya di Kota Kinabalu saja memandangkan kami memang menetap di sini, manakala ahli lain ada juga yang beraya di Kota Kinabalu dan ada yang balik kampung beraya.

“Namun, selepas raya ketiga kami akan berkumpul semula untuk meneruskan aktiviti busking kami di mana-mana sahaja seperti biasa. 

“Selain itu, seperti tahun-tahun sebelumnya kami juga sudah pun menerima beberapa undangan untuk membuat persembahan di rumah terbuka Aidilfitri di sekitar Kota Kinabalu,” katanya kepada Hiburan Ekspres.

Selain Khay atau nama lengkap Mohd Khairul Abd Latif, KhayCoustica turut dianggotai isterinya, Fyfy atau Suriaini Kassim selaku vokalis, Bibi @ Carlson (keyboard), Azlan Ahmad (gitar), Ag Mohd Faddzil Ag Amat (gitar bass) dan Moonir atau Heshamiddin Elson (dram). 

Ditubuhkan pada 2021, KhayCoustica akhirnya muncul dengan single sulung mereka, Tergoda pada 26 Mac lalu. 

SELAGI ada peluang KhayCoustica akan terus berbusking tanpa mengira musim perayaan.

Mengangkat genre pop, modern rock dan balada, Tergoda dicipta sepenuhnya oleh Khay sendiri.

Mengambil masa tiga tahun untuk hadir dengan lagu sendiri, Khay mengakui mengeluarkan single bukanlah semudah yang difikirkan.

“Kami tidak mahu keluarkan lagu yang hanya tangkap muat tetapi sesuatu produk yang betul-betul boleh diterima oleh orang ramai.

“Lebih-lebih lagi pendengar tidak semuanya mempunyai cita rasa yang sama. 

“Jadi, untuk menghasilkan sesuatu karya itu kenalah betul-betul segar dan sesuai untuk zaman ini,” ujar vokalis dan gitaris berasal dari Sandakan itu.

Tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, Khay berkata mereka cuma berharap menerusi single Tergoda orang ramai dapat mendengar hasil karya mereka.

“Kami berharap kehadiran kami ini dapat memeriahkan lagi industri muzik kita.

“Dalam masa sama, kami harap Tergoda mampu diterima oleh pendengar bukan saja di Sabah, tetapi kalau boleh di seluruh Malaysia,” katanya.

Bercakap tentang penubuhan band terbabit, Khay berkata pada awalnya dia cuba menceburi bidang busking secara solo.

“Kemudian saya ajak isteri sata untuk bersama-sama mencari rezeki dan peluang menyanyi dalam mana-mana acara.

“Tapi memandangkan semakin hari semakin ramai busker baharu dan berkualiti sudah tentulah persaingan sihat itu ada.

“Pada masa sama, penghibur jalanan solo agak sukar untuk mendapat tempat untuk membuat persembahan dalam mana-mana acara memandangkan penganjur lebih mengutamakan busker berkumpulan.

“Jadi saya ambil keputusan untuk pelawa kawan-kawan lama saya untuk bergabung bersama di bawah jenama KhayCoustica.

“Alhamdulillah, rezeki kami sebagai KhayCoustica terus terbuka. Yang penting, kami tidak berhenti untuk berusaha,” katanya.

KhayCoustica pernah membuat persembahan di beberapa acara besar, antaranya, Rhythms of Kinabalu anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, Bundle Music Fest Vol 3, dan Sulap Artisan by Suria Sabah. 

[email protected] 

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here