Kota Kinabalu: Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) komited meneruskan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera sebagai misi nasionalnya dalam usaha berterusan membangunkan industri perkayuan di negara ini.
MTIB dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata ia sentiasa proaktif melaksanakan pelbagai aktiviti bagi mengukuhkan kedudukan usahawan Bumiputera agar mampu bersaing dan kompetitif di pasaran tempatan mahupun di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, pada 15 April, satu sesi Dialog Ketua Pengarah MTIB dengan Usahawan Bumiputera Tahun 2022 telah diadakan di Tawau, Sabah untuk menerangkan mengenai pelbagai program yang dapat memberi manfaat kepada usahawan Bumiputera.
Menurut MITB, objektif program tersebut adalah untuk membantu usahawan Bumiputera dalam meningkatkan kapasiti pengeluaran produk di kilang yang menjurus kepada peningkatan prestasi jualan tahunan.
“Program ini telahpun dijalankan sejak tahun 2015 dan sehingga kini sebanyak 121 usahawan Bumiputera telah mendapat manfaat daripada program ini.”