Fri, 5 Jul 2024

HEADLINES :


Ops Bersepadu: 33 PTI ditahan
Published on: Tuesday, July 02, 2024
By: Lagatah Toyos
Text Size:

Ops Bersepadu: 33 PTI ditahan
SEBAHAGIAN tangkapan dalam operasi tersebut.
TAWAU: Seramai 684 individu diperiksa semasa Operasi Bersepadu (OB) yang dikoordinasikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di daerah ini pada Khamis dan Jumaat lalu.

Komander Esscom, Datuk Victor Sanjos berkata, 33 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan lanjut kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Selain itu, katanya, 143 pelbagai jenis pengangkutan laut dan kenderaan turut diperiksa dalam operasi dua hari itu, yang dijalankan di sekitar kawasan Jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) lama di sini.

Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pula menahan dua individu dan merampas 5.53 gram dadah jenis syabu.

“Suspek dan dadah itu dibawa ke IPD Tawau untuk saringan ujian air kencing dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam kenyataan, Isnin.

Victor berkata, dalam operasi sama, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Tawau menahan seorang individu kerana menyalahi syarat lesen di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dan kes diserahkan kepada pihak JPDS untuk tindakan selanjutnya.

Manakala, katanya, Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tawau menahan seorang individu dan merampas 160 liter minyak diesel bersubsidi, termasuk sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. 

Katanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga menahan seorang individu dan merampas 12 liter minuman keras tempatan di bawah Akta Kastam 1967.

“Jumlah anggaran nilai rampasan oleh KPDN dan JKDM ialah sebanyak RM 11,165.50,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi itu dijayakan oleh 109 pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi.

Katanya, objektif utama operasi yang dijalankan dengan kerjasama PDRM, APMM, jabatan/ agensi penguatkuasaan Persekutuan dan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini adalah demi menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone).

Selain itu, katanya, operasi juga bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai serta mengekang penyusupan pendatang asing tanpa izin (PTI). 

Di samping itu, Victor berkata, pihak berkuasa yang terlibat turut menguatkuasakan undang-undang terhadap kesalahan lain, khususnya di kawasan pintu keluar masuk utama warga asing serta penduduk setempat yang menetap sekitar sempadan antara Malaysia - Indonesia di Pulau Sebatik.

Dalam pada itu, Victor menyatakan Esscom akan terus mempergiat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah di Esszone, bagi mengekang mana-mana elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di Pantai Timur Sabah.

Sehubungan itu, masyarakat boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di Esszone ke Pusat Operasi Esscom pada talian 089-863 181 atau melalui WhatsApp 011-63311072.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here