Wed, 3 Jul 2024

HEADLINES :


Parti Bangsa Malaysia bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Negeri akan datang
Published on: Monday, July 01, 2024
By: Iskandar Dzulkifli
Text Size:

Parti Bangsa Malaysia bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Negeri akan datang
LARRY (tengah) semasa sidang media selepas merasmikan Pejabat Perhubungan PBM Sabah di Pekan Donggongon. Turut kelihatan Jupperi (kiri sekali).
Kota Kinabalu: Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengumumkan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak atau parti di Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Presiden PBM, Datuk Larry Sng berkata, sebaliknya PBM akan bergerak secara ‘solo’ dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan parti itu walaupun secara umumnya PBM sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“PBM akan bergerak solo..tidak bergabung sama ada dengan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan mana-mana pihak pada PRN akan datang.

“Ini adalah kali pertama PBM bertanding (PRN Sabah akan datang), jadi saya rasa lepas kita dapat keputusan (selepas PRN) baru kita boleh nampak hala tuju kita dan dengan siapa kita akan bekerjasama di masa depan.

“Untuk permulaan ini, kita akan bergerak bersendirian bagi mengukuhkan PBM di Sabah ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pejabat Perhubungan PBM Negeri Sabah, di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pengerusi Perhubungan PBM Negeri Sabah, Jupperi Lensom.

Ketika ditanya jumlah kerusi bakal ditandingi PBM, Ahli Parlimen Julau (Sarawak) itu berkata, buat permulaan pihaknya merancang bertanding di tujuh kawasan Kadazan, Dusun dan Murut (KDM).

Menurutnya, pemilihan tujuh kawasan itu berdasarkan tujuh bahagian PBM yang telah ditubuhkan di kawasan terbabit iaitu Penampang, Kota Marudu, Tuaran, Kota Belud, Ranau, Putatan dan Pensiangan.

“Buat masa ini, kita hanya tumpukan di tujuh kawasan ini dan mungkin di masa terdekat akan ada kawasan lainnya yang akan ditandingi kerana PBM bukan berasaskan KDM saja tetapi parti pelbagai kaum dan agama.

“Jumlah kerusi ditandingi mungkin juga akan bertambah di masa depan kerana kita di peringkat Majlis Tertinggi PBM telah bersetuju untuk memberi kuasa autonomi kepada PBM Sabah.

“Justeru, terpulang kepada PBM Sabah untuk tentukan di kawasan mana dan jumlah kerusi yang akan ditandingi kerana masih ada masa sebelum PRN Sabah tiba,” katanya.

Larry berkata, setakat ini sambutan menggalakkan terhadap PBM datangnya dari luar bandar khususnya di kawasan KDM kerana sedar hala tuju perjuangan parti yang berpengkalan di Sarawak itu.

Katanya, perjuangan PBM jelas, iaitu mahu menjadikan Sabah teguh seperti Sarawak dalam aspek pentadbiran, sosial serta paling penting kestabilan politik yang mampu mengukuhkan wilayah itu.

“Mesej yang PBM cuba sampaikan kepada rakyat Sabah jelas iaitu mahu membangunkan wilayah ini agar setanding dengan Sarawak dalam semua aspek khususnya kestabilan politik.

“Sabah dan Sarawak perlu bekerjasama dalam semangat Borneo untuk bersama berjuang menuntut hak kita sebagaimana dilaksanakan Sarawak ketika ini yang mendapat lebih daripada yang kami minta hasil permuafakatan kami,” tegasnya.

Sementara itu, Jupperi memaklumkan jumlah keahlian PBM di Sabah setakat ini mencecah lebih 20,000 anggota dan kebanyakkannya masyarakat KDM yang berada di kawasan luar bandar.

Katanya, PBM juga dalam usaha memperluaskan politiknya di kawasan lain dalam masa terdekat termasuk menambah jumlah bahagian, cawangan seterusnya keahlian di seluruh Sabah.

“Saya yakin jumlah keahlian akan bertambah drastik selepas penubuhan lebih banyak bahagian di seluruh wilayah ini melalui inisiatif dan perancangan yang bakal kami laksanakan.

“Saya juga menyambut baik keputusan PBM Pusat yang memberikan kuasa autonomi kepada PBM Sabah dalam semua urusan yang menunjukkan parti ini teguh memperjuangkan hak Sabah,” tegasnya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here