Tue, 2 Jul 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Lebih sejuta pelancong, resit RM2.23b hingga Apr
Published on: Sunday, June 30, 2024
By: Lagatah Toyos
Text Size:

Lebih sejuta pelancong, resit RM2.23b hingga Apr
HAJIJI dan yang lain menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah TICC.
TAWAU: Kerajaan negeri giat merangka pelbagai projek pelancongan merangkumi pelbagai aspek di seluruh Sabah sebagai antara usaha mencipta lebih banyak produk pelancongan baharu di negeri ini.

Ini khususnya selepas Sabah mencatatkan kemasukan lebih sejuta pelancong dengan perbelanjaan RM2.23 bilion bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, berkata usaha ini diambil bagi memperbanyakkan lagi produk pelancongan yang boleh diketengahkan kepada pelancong, termasuklah berkaitan kebudayaan.

Misalnya di Tawau, katanya, kerajaan akan melaksanakan beberapa projek pelancongan seperti yang dicadangkan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah untuk membangunkan lagi sektor pelancongan di daerah ini.

“Antaranya, membina sebuah resort baharu di Tawau Hills Park yang merangkumi chalet, laluan pejalan kaki, kolam air panas dan menempatkan Pusat Penyelidikan Tenggiling. 

“Selain itu, kerajaan melalui kementerian sama juga akan menaik taraf kemudahan seperti Jeti Tawau yang membawa pelancong dari Tawau ke Semporna,” katanya.

Menurutnya, Tawau yang juga pintu masuk pengunjung ke Taman Laut Tun Sakaran yang popular di Semporna, merekodkan 25,684 pelawat dari dalam dan luar negara dalam tempoh Januari hingga April lalu.

Sehingga kini, katanya, terdapat 115 kekerapan penerbangan mingguan dengan 20,200 kapasiti tempat duduk menghubungkan Tawau ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Sandakan. 

“Sehingga 15 Jun tahun ini juga, terdapat 32 penerbangan sewa khas dari Nanjing dan Guangzhou, China ke Tawau,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC) di Jalan Traulsen, Sabindo, di sini, pada Sabtu.

Mengulas majlis itu, Hajiji berkata pembinaan TICC sebagai mercu tanda baharu di Tawau pasti akan menjadi tarikan pelancong ke daerah itu.

Beliau berkata, pembinaan TICC itu tepat pada masanya dan sudah pasti apabila siap kelak, akan menjadi tempat penganjuran pelbagai acara kebudayaan, termasuk Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT). 

Katanya, dengan adanya tarikan-tarikan pelancongan baharu ini, sudah pasti akan membantu negeri mencapai sasaran 3 juta pelancong ke Sabah pada tahun ini.

“Berdasarkan statistik Lembaga Pelancongan Sabah, seramai 1.004 juta pelancong datang ke Sabah setakat Januari hingga April tahun ini yang membabitkan 396,584 pelancong antarabangsa dan 607,371 pelancong domestik. 

“Keadaan ini amat memberangsangkan kerana dalam tempoh Januari-April ini, anggaran resit pelancongan adalah sebanyak RM2.23 bilion,” tambahnya.

Bercakap lanjut, Hajiji berkata pembinaan TICC adalah antara persiapan Tawau sebagai bandar paling dekat dengan ibu kota Indonesia yang akan berpindah ke Nusantara.

Beliau percaya usaha itu akan merancakkan lagi perdagangan dan pelancongan di daerah Tawau.

Projek TICC melibatkan pembinaan bangunan satu tingkat dua blok yang akan menjadi pusat untuk mempromosikan kebudayaan daerah dan turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, antaranya dewan konvensyen, bilik seminar dan teater mini.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here