Sun, 30 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Kebarangkalian tanah runtuh jauh lebih rendah di laluan Laban Rata: Pakar
Published on: Thursday, June 27, 2024
Text Size:

Kebarangkalian tanah runtuh jauh lebih rendah di laluan Laban Rata: Pakar
SEBAHAGIAN laluan Laban Rata.
Kota Kinabalu: Kebarangkalian terjadi tanah runtuh di Laban Rata, kawasan laluan susur digunakan pendaki Gunung Kinabalu, adalah jauh lebih rendah berbanding kawasan kejadian tanah runtuh di kaki gunung sekitar Mesilou, Kundasang pada Isnin lepas (24 Jun).

Pakar Klimatologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Datuk Dr Ramzah Dambul berkata ini kerana segmen di kawasan Laban Rata lebih landai dan tidak terlalu curam, serta rekahan batu dan sisipan lapisan tanih akibat proses hakisan dan luluhawa lebih sedikit serta lebih perlahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah itu berkata kerana itu video pendakian Gunung Kinabalu sekitar Laban Rata ketika hujan lebat hanya kelihatan aliran air yang deras dan tidak terdapat banyak bahan hanyutan seperti tumbuhan, tanih dan pecahan batu.

“Secara teori, boleh berlaku (tanah runtuh di Laban Rata), tapi kebarangkalian jauh lebih rendah. Jadi bertenang semua, dapatkan informasi daripada yang pakar dan jangan percaya fantasi dimainkan penyebar halusinasi tentang isu ini,” katanya kepada Bernama.

Pada Isnin lepas, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata pihaknya menerima laporan awal Taman-Taman Sabah mengenai runtuhan yang mula berlaku di kaki gunung itu pada pukul 1.20 pagi tadi, sebelum disusuli dengan kejadian banjir lumpur pada pukul 5 pagi.

Ridwan berkata tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dalam kejadian itu kerana ia berlaku jauh dari kawasan perumahan dan tidak menjejaskan kampung berhampiran.

Berkongsi hipotesis mengenai kejadian itu, Ramzah berkata kebarangkalian berlaku adalah berkisar dengan tiga faktor iaitu cuaca, aliran air dan geomorfologi dengan Kundasang mengalami hujan lebat dalam tempoh satu hingga dua minggu ini.

Beliau berkata hujan lebat itu menambahkan intensiti aliran air di atas gunung dan permukaan Gunung Kinabalu itu bukan terdiri daripada batuan sepenuhnya.

“Ada juga tumbuh-tumbuhan dan lapisan tanih nipis. Selain itu, permukaan batu gunung itu bukan padat sepenuhnya kerana ada juga rekahan-rekahan akibat proses hakisan dan luluhawa.

“Bila aliran air di permukaan gunung terlalu kuat, melebihi intensiti normal selama beberapa hari, maka  pohon-pohon kecil, lapisan tanih dan rekahan-rekahan batu akan hanyut dan terkumpul yang kemudiannya jatuh (menjadi tanah runtuh),” katanya.

Justeru, Ramzah berkata kejadian tanah runtuh itu bukanlah runtuhan tanah sepenuhnya, sebaliknya terdiri daripada campuran bahan antaranya tumbuhan, lapisan tanih dan rekahan batu yang tersungkap serta hanyut kerana aliran air permukaan yang begitu deras.

Beliau berkata dalam cuaca yang agak ekstrim seperti sekarang, kemungkinan terdapat banyak runtuhan berlaku di kawasan curam Gunung Kinabalu, namun ia kurang disedari kerana berlaku jauh daripada penempatan manusia, terpencil dan mungkin pada waktu malam.

“Ini sebenarnya fenomena biasa yang boleh berlaku secara rutin sewaktu musim tengkujuh dan hujan lebat seperti sekarang. Setiap anomali walau sekecil ini memang ada potensi jadi bencana. Tapi risikonya terkawal.

“Kita cuma perlu waspada dan sentiasa peka pada makluman serta arahan agensi-agensi pemantau seperti bomba, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Beliau juga menolak dakwaan kononnya tanah runtuh itu terjadi akibat gempa bumi kerana tiada gempa bumi dilaporkan berlaku di kawasan itu pada waktu kejadian menurut rekod rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia.

Beliau berkata pada hari sama, terdapat gempa sederhana magnitud 5.7 di Kepulauan Tanimbar, Indonesia berlaku pada 5:55 petang tetapi ia selepas runtuhan, dan hari sebelumnya gempa sederhana magnitud 5.1 di Taiwan pada pukul 10.27 malam tetapi ia terjadi pada masa jauh sebelum runtuhan.

“Selain jarak masa, impak kedua-dua runtuhan yang jauh ini tidak mungkin boleh terasa hingga ke Kundasang,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here