Sun, 30 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Biasiswa fintech untuk pelajar UMSKAL
Published on: Thursday, June 27, 2024
Text Size:

Biasiswa fintech untuk pelajar UMSKAL
DR Mohd Hanafi (kelima, kiri) dan David Moyes (kelima, kanan) bersama penerima dan yang lain pada majlis itu. – fotoBERNAMA
LABUAN: Exness Investment Bank Limited menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) bagi menganugerahkan Biasiswa Exness Fintech.

Disediakan untuk pelajar melanjutkan pengajian Ijazah dalam Sains Data, Kejuruteraan Perisian, Teknologi Multimedia dan Pengkomputeran Perniagaan, inisiatif itu sejajar dengan komitmen Exness untuk memupuk pertumbuhan sektor teknologi kewangan atau fintech dan generasi peneraju teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif Exness Investment Bank David Moyes pada majlis penyampaian biasiswa berkenaan di UMSKAL, Rabu, berkata pemberian biasiswa itu bukan sahaja membantu pelajar mencapai matlamat akademik mereka, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan modal insan tempatan serta ekosistem teknologi kewangan lebih luas di Malaysia.

“Kami teruja untuk memberikan biasiswa ini. Sebagai hab bagi perniagaan antarabangsa dan perkhidmatan kewangan, Labuan menyediakan peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman berharga dalam sektor teknologi kewangan,” katanya.

Beliau berkata pemberian biasiswa itu juga bukan sahaja menunjukkan pelaburan besar terhadap masa depan sektor teknologi kewangan di pulau bebas cukai berkenaan, tetapi juga menjadi model untuk perkongsian awam-swasta yang mendukung pendidikan serta memacu inovasi.

“Program Biasiswa Fintech, inisiatif Kumpulan Exness, telah memberi impak yang ketara di negara seperti Vietnam, Thailand, Afrika Selatan, Kenya dan Cyprus, menyokong ramai pelajar dalam usaha pendidikan mereka,” katanya.

Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik UMSKAL Prof Dr Mohd Hanafi Ahmad Hijaz berterima kasih atas sokongan Exness Investment Bank, sekali gus menekankan kepentingan perkongsian industri-akademik.

“Dengan pemberian biasiswa ini, Exness bukan sahaja meningkatkan akademik mereka tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekosistem teknologi kewangan lebih meluas di Labuan dan Malaysia. 

“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif ini yang memperkasakan pelajar untuk menjadi pemimpin masa depan dalam teknologi dan perniagaan,” katanya.

Biasiswa terbabit meliputi yuran pengajian dan elaun sara hidup pelajar tahun dua dan tiga, sekali gus meringankan beban kewangan mereka.

Lima penerima dipilih berdasarkan merit akademik, keperluan kewangan dan minat terhadap teknologi dan inovasi.

Seorang daripada penerima, Prince Alexzander Antoh, pelajar tahun dua Ijazah Teknologi Multimedia di Fakulti Komputeran & Informatik (FKI) UMSKAL berkata dia bersyukur atas pemberian biasiswa berkenaan.

“Sebagai orang pertama dalam keluarga yang melanjutkan pengajian ke universiti, biasiswa ini adalah peluang keemasan untuk saya mengejar impian tanpa bimbang berkaitan kewangan,” katanya yang berasal dari Kampung Rancha-Rancha di sini.

Penerima lain dari fakulti sama ialah Kristie Chiang Shen Shuet, Maslianda Sulaiman, Siti Hajar Abdul Haming dan Seri Suriati Ali Subroto. 

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here