Sat, 29 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Zahid pertahan penubuhan JKDM
Published on: Sunday, June 23, 2024
By: Aishah Abdullah dan Ricardo Unto
Text Size:

Zahid pertahan penubuhan JKDM
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Kota Kinabalu: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tujuan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) yang ditubuhkan di Sabah adalah sebagai “pelengkap dan tambahan”.

“Kita tidak berniatpun untuk bersaing atau mencari jalan berbeza kerana kita mahu memperkukuhkan akar umbi kita agar rakyat terpinggir dapat kita santuni,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Sepanggar di sini, Sabtu. 

Beliau diminta mengulas kritikan pemimpin-pemimpin Sabah yang tidak setuju dengan penubuhan JKDM di negeri itu, yang dilihat sebagai taktik untuk memecahbelahkan rakyat susulan apa yang dilihat sebagai kemerosotan kepentingan Umno Sabah.

Zahid menafikan jawatankuasa yang ditubuhkan tidak ada niat langsung untuk memecahbelahkan rakyat Sabah.

“Tidak ada langsung niat ke arah itu...kerana kerajaan negeri mempunyai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Kita menubuhkan pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) untuk memperkukuhkan kekuatan dokongan rakyat di sesebuah kampung.

“Sebenarnya tiga negeri yang kita mempunyai formula yang sama – di Pulau Pinang dan Selangor kita mempunyai kaedah yang sama. Di negeri-negeri berkenaan tidak ada pun sebarang masalah kerana mereka memahami hasrat kita,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid juga menolak sebarang unsur politik di sebalik penubuhan JKDM di Sabah.

“Tidak ada...  kita hanya ingin memperkukuhkan akar umbi,” tegasnya.

Di TUARAN, Zahid berharap parti politik di Sabah membuat keputusan rasional pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Kepada rakan politik bukan Umno, jangan bimbang, jangan risau, jangan khuatir. Umno sebuah parti rasional,” katanya apabila merasmikan mesyuarat Umno Tuaran, di sini, Sabtu.

“Apa yang penting adalah kita bekerjasama demi kepentingan rakyat Sabah dan Malaysia.

“Kami akan cuba melakukan yang terbaik, dan apabila tiba masanya Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan, jangan buat keputusan atau kenyataan terburu-buru.

“Kita mesti lebih rasional, dan adalah penting rakyat tidak menjadi mangsa tetapi mesti dibangunkan, dan kestabilan politik mesti diwujudkan di Sabah.”

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Christina Liew dan Timbalan Pengerusi Umno Sabah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Bagaimanapun, Pengerusi Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak hadir.

Ahmad Zahid berkata, perpaduan dalam perjuangan dengan parti atau pertubuhan lain demi kesejahteraan rakyat amat diperlukan.

“Sesetengah rakan menasihati saya untuk mempertimbangkan semula keputusan saya untuk merasmikan mesyuarat Umno Tuaran disebabkan kehadiran Ketua Menteri Sabah, rakan-rakan dari GRS, dan pemimpin dari PH.

“Itu nasihat mereka, tetapi saya melakukan ‘istikharah’ (mencari pedoman melalui solat), dan tidak kira siapa yang hadir, mereka adalah kawan saya.

“Kehadiran saya di Tuaran tidak bermakna saya meninggalkan mana-mana kawan,” katanya.

Beliau menambah bahawa politik adalah sangat dinamik.

“Dulu kawan, kini musuh, dan sebaliknya. Politik adalah dinamik. Apa yang penting, kestabilan politik mesti menjadi keutamaan untuk kesejahteraan rakyat.”

Beliau berkata, kestabilan politik akan memastikan segala tuntutan rakyat dapat dipenuhi.

Ahmad Zahid juga berkata perbezaan pendapat perlu diraikan dan sentiasa ada cara terbaik untuk menangani perbezaan ideologi.

“Justeru, saya amat menghormati kehadiran Ketua Menteri di majlis Umno ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya menyokong dan memperkukuh Kerajaan Madani demi kepentingan rakyat.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here