Fri, 28 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Lima anggota keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram didakwa
Published on: Wednesday, June 19, 2024
By: Bernama
Text Size:

Lima anggota keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram didakwa
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara hujung tahun 2014 hingga 17 Mei lepas mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak lebih 40 tahun beserta denda dan Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.
JOHOR BAHRU: Lima anggota keluarga suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram bulan lepas sehingga mengakibatkan kematian dua anggota polis dan seorang lagi cedera, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan berkaitan keganasan.

Pertuduhan terhadap Radin Imran Radin Mohd Yassin, 57, Radin Romyullah Radin Imran, 34, Rosna Jantan, 59, Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19, dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, namun tiada pengakuan direkodkan daripada kelima-lima mereka kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Radin Imran yang juga bapa suspek kejadian serangan pada 17 Mei lepas itu didakwa menggalakkan perbuatan pengganas dengan cara menanamkan fahaman ideologi keganasan yang berkait kumpulan pengganas Islamic State (IS) kepada isterinya, Rosna, dua anak lelakinya termasuk suspek yang berumur 21, dan Radin Romyullah serta dua anak perempuannya Farhah Sobrina dan Mariah.

Radin Imran juga didakwa dengan tiga lagi pertuduhan memberi sokongan kepada perbuatan pengganas dengan menyimpan empat pucuk senjata api jenis senapang angin (buatan sendiri) untuk menjalankan aktiviti IS; berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas berkenaan iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi; dan memiliki sebuah buku yang berkaitan dengan IS.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, di sini antara hujung tahun 2014 hingga 17 Mei lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun beserta denda; Seksyen 130J(1) Kanun Keseksaan iaitu penjara seumur hidup atau tidak lebih 40 tahun atau denda dan dirampas harta yang digunakan; dan Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda dan dilucutkan bahan dimiliki itu, jika sabit kesalahan.

Sementara itu tertuduh kedua, Radin Romyullah yang juga abang suspek pula didakwa dengan dua pertuduhan iaitu berbaiah kepada pemimpin kumpulan IS iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi dan memiliki satu “external hard disc” yang mengandungi bahan berkaitan IS dan aktiviti kumpulan itu di lokasi yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara hujung tahun 2014 hingga 17 Mei lepas mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak lebih 40 tahun beserta denda dan Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Ibu suspek Rosna yang merupakan warga Singapura; kakak suspek Farhah Sobrina dan adik suspek Mariah pula didakwa masing-masing atas satu pertuduhan iaitu dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat berkenaan kesalahan berkaitan ideologi keganasan.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama antara April 2017 hingga 17 Mei lepas mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 31 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara Putrajaya Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan Fazeedah Faik, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini dikawal ketat sekumpulan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Penyiasatan Jenayah (CID) Polis Diraja Malaysia (PDRM) seawal pukul 8 pagi.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi, 17 Mei lepas, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang oleh suspek bertopeng dan bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, ditembak dan dilaporkan stabil selepas dirawat di Hospital Sultan Ismail di sini.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here