Fri, 28 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Lembaga Hasil Dalam Negeri kenal pasti individu, syarikat terlibat dalam dagangan wang kripto
Published on: Wednesday, June 19, 2024
By: Bernama
Text Size:

Lembaga Hasil Dalam Negeri kenal pasti individu, syarikat terlibat dalam dagangan wang kripto
Abu Tariq berkata mana-mana individu yang terlibat dengan perdagangan mata wang kripto dalam negara adalah tertakluk kepada cukai pendapatan di Malaysia dan mereka yang kurang pasti mengenai sistem percukaian tersebut boleh menghubungi pihak LHDN atau merujuk kepada garis panduan yang telah ditetapkan.
PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengenal pasti beberapa individu dan syarikat yang menjalankan perdagangan mata wang kripto dalam usaha mengurangkan ketirisan hasil cukai dan menambah baik pentadbiran cukai negara.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata pihaknya mendapati kekerapan transaksi dagangan mata wang kripto itu adalah tinggi dan LHDN kini dalam proses semakan data untuk menentukan sama ada berlaku isu percukaian atau tidak.

“Kita tahu bahawa dalam sesuatu keadaan jika jumlah transaksi adalah tinggi dan sebagainya, apa-apa daripada keuntungan kripto ini juga tertakluk kepada cukai.

“Mereka menjalankan aktiviti ini dalam jumlah (merujuk kepada kekerapan transaksi) yang tinggi dan tidak membuat apa-apa pelaporan kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penyertaan Program Tadbir Urus Percukaian Korporat (TCG) di sini hari ini.

Baru-baru ini dilaporkan operasi pematuhan khas LHDN, Ops Token telah diadakan untuk mengurangkan ketirisan hasil cukai dalam perdagangan mata wang kripto di mana ia telah diadakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan CyberSecurity Malaysia (CSM) di 10 lokasi berbeza sekitar Lembah Klang secara serentak.

Abu Tariq berkata mana-mana individu yang terlibat dengan perdagangan mata wang kripto dalam negara adalah tertakluk kepada cukai pendapatan di Malaysia dan mereka yang kurang pasti mengenai sistem percukaian tersebut boleh menghubungi pihak LHDN atau merujuk kepada garis panduan yang telah ditetapkan.

Maklumat berkaitan Garis Panduan Layanan Cukai Ke Atas Transaksi Mata Wang Digital boleh dimuat turun menerusi capaian pantas : https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/GP_LAYANAN_CUKAI_KE_ATAS_TRANSAKSI_MATA_WANG_DIGITAL.pdf.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata program TCG dapat memberikan pemahaman yang lebih meluas ke atas pengurusan organisasi pembayar cukai dan prosedur tadbir urus percukaian dan kawalan risiko percukaian selain dapat meningkatkan hubungan antara pembayar cukai dan LHDN bagi membolehkan isu percukaian diselesaikan secara konsultasi berbanding konfrontasi.

“Melalui TCG, sesebuah organisasi dapat meningkatkan pemahaman mereka tentang peraturan cukai yang berkaitan dengan aktiviti perniagaan dan mengukuhkan sistem dalaman syarikat bagi memastikan pematuhan cukai secara berterusan,” katanya.

LHDN telah melancarkan TCG pada 1 Mac 2022 sebagai salah satu inisiatif memperkasakan aktiviti pematuhan secara sukarela dengan fokus ke arah kerjasama utuh antara pihak pembayar cukai dengan LHDN sebagai pentadbir cukai negara.

Pelancaran program itu melibatkan dua fasa utama iaitu projek rintis yang bermula pada 1 Jun 2022 sehingga 30 Jun 2024 dan bakal diikuti dengan pelaksanaan penuh TCG bermula 1 Julai ini.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here