Wed, 26 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Projek kuasa solar penuhi keperluan elektrik penduduk
Published on: Monday, June 17, 2024
By: Iskandar Dzulkifli
Text Size:

Projek kuasa solar penuhi keperluan elektrik penduduk
RUSLAN (kelima dari kanan) menghidupkan suis lampu solar di Surau Kg Nabahan sebagai simbolik perasmian majlis itu.
BEAUFORT: Impian penduduk di Kampung Nabahan, di sini, untuk menikmati bekalan elektrik berterusan akhirnya tercapai melalui projek pemasangan ‘Off Grid Solar PV’ yang siap sepenuhnya, baru-baru ini.

Sebelumnya penduduk hanya berharap pada set generator milik masing-masing dan berkapasiti kecil, selain tidak menyeluruh dan amat terhad.

Adun Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, projek itu merupakan kerjasama pihaknya dengan Kolej Komuniti Beaufort bagi membantu golongan miskin tegar di kawasan itu.

Menurutnya, projek pemasangan solar itu melibatkan sembilan rumah penduduk, termasuk surau dan astaka, sekali gus memenuhi keperluan masyarakat yang rata-ratanya golongan nelayan kecil-kecilan.

“Sebanyak RM80,000 di bawah peruntukan Adun disalurkan untuk menjayakan projek komuniti ini.

“Sebelumnya, penduduk hanya berharap bekalan elektrik disalurkan set generator mereka hingga terpaksa membelanjakan sehingga RM600 sebulan bagi pembelian petrol.

“Kini perbelanjaan ini dapat dijimatkan sebanyak RM400 sebulan hasil pemasangan sistem solar ini,” katanya selepas merasmikan Program Pemasangan Solar di Kampung Nabahan, di sini, Ahad.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, pemasangan solar berkapasiti 0.5 kilowatt DC (0.5Kwdc) dikhaskan untuk menjana elektrik bagi dua lampu dan kipas masing-masing di sembilan rumah penduduk. Manakala keperluan elektrik surau sebanyak 1.0kWdc elektrik dijana untuk bekalan tenaga empat lampu, dua kipas dan satu unit Starlink bagi liputan internet di kawasan itu.

“Astaka kampung ini turut dipasang tenaga solar dengan kapasiti 1kWdc untuk menjana bekalan enam lampu dan tiga buah kipas, termasuk dua sistem DC solar untuk bekalan tenaga peti sejuk beku,” katanya.

Tambahnya, selain pemasangan solar, projek itu turut melibatkan pelaksanaan Program Pembangunan Produk Keusahawanan Sosial untuk membantu penduduk meningkatkan pendapatan.

Menurutnya, antara objektif program itu adalah latihan pembangunan produk, termasuk promosi dan pemasaran produk setempat yang berpotensi menjana ekonomi tambahan.

Ruslan berkata, program seumpama itu akan memberi banyak manfaat bukan saja kepada golongan miskin tegar tetapi juga masyarakat di kampung itu.

“Kampung Nabahan belum mempunyai kemudahan bekalan elektrik dan air yang sempurna sebagaimana kawasan lainnya kerana terletak di kawasan terpencil berdekatan Sungai Weston.

“Laluan utama ke kampung ini hanya menggunakan bot atau perahu dan pekerjaan utama penduduk adalah nelayan, yang semua maklum hanya berharap hasil laut yang tidak seberapa.

“Justeru, saya menghargai usaha seumpama ini yang sudah tentu dapat membantu mengubah taraf sosial ekonomi penduduk, seterusnya mengurangkan kemiskinan tegar di Sabah,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here