Wed, 3 Jul 2024

HEADLINES :


Pembangkang ‘tutup mata’ – Ruslan
Published on: Monday, June 17, 2024
By: Iskandar Dzulkifli
Text Size:

Pembangkang ‘tutup mata’ – Ruslan
RUSLAN meninjau produk pameran pada program tersebut.
BEAUFORT: Tuduhan liar beberapa individu dari parti pembangkang yang kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan tiada perancangan untuk kawasan itu bagaikan ‘meludah ke langit, terkena muka sendiri’.

Adun Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, perumpamaan itu sesuai kerana mereka sengaja ‘menutup mata’ terhadap semua usaha beliau menyelesaikan masalah besar di Lumadan hanya dalam tempoh singkat.

Katanya, berbanding wakil rakyat mereka sebelum ini, langsung tiada inisiatif menyelesaikan masalah bekalan air dan banjir yang kritikal di kawasan itu hingga menyukarkan kehidupan rakyat selama berpuluh tahun lamanya.

“Perkara pertama sebaik saya diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat adalah menyelesaikan masalah ketiadaan bekalan air yang kritikal lebih 40 tahun di sebahagian besar kampung termasuk kampung saya di Suasa.

“Semua masalah ini selesai secara total dalam tempoh 18 bulan dan kini semua 80 kampung yang terjejas sebelumnya, dapat menikmati bekalan air bersih secara berterusan sampai sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Penutupan Kursus Ternakan Udang, Ikan Air Tawar dan Jahitan anjuran Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM), di sini, Jumaat.

Ruslan mengulas pembohongan beberapa pemimpin peringkat akar umbi parti pembangkang yang melontarkan tohmahan itu di satu mesyuarat kelompok peringkat zon parti tersebut di Lumadan baru-baru ini.

Ruslan yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, usaha beliau itu tidak terhenti di situ saja, tetapi turut fokus mengatasi masalah banjir yang kritikal sejak sekian lama di beberapa kampung.

Menurutnya, antara paling terjejas adalah Kampung Bukau, di sini yang sebelumnya jika berlaku hujan lebat akan dilanda banjir dengan cepat hingga mengambil masa beberapa bulan hingga setahun untuk surut.

“Bukan rumah saja yang terjejas, tetapi juga ladang pertanian penduduk turut rosak hingga terbiar tidak dapat diusahakan, namun kini masalah banjir telah selesai setelah usaha drastik yang kami laksanakan bermula tahun 2020 lalu.

“Ia melibatkan pembersihan Sungai Api-Api yang dipenuhi semak samun sehingga menyekat aliran air keluar ke laut, sekaligus menyelesaikan sepenuhnya masalah banjir di Kampung Bukau.

“Kaedah sama turut saya gunakan untuk kawasan banjir di Kampung Karangan dengan membersih, melebar dan mendalamkan Sungai Lumadan, sekaligus menyelesaikan masalah ini sepenuhnya.

“Inisiatif ini turut diperluaskan ke kampung-kampung lainnya hingga masalah banjir yang sebelumnya kritikal kini tidak lagi berlaku dan semua ini bukankah satu perancangan?,” katanya sinis.

Ruslan berkata, Dewan Terbuka di tujuh buah kampung yang tidak mempunyai kemudahan kini telah dibina pihaknya sekaligus memberi manfaat kepada penduduk melaksanakan aktiviti sosial.

Katanya, sebanyak RM1.4 juta peruntukan Adun digunakan bagi merealisasikannya dan inisiaitif ini akan diperluaskan ke kampung lainnya bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

“Begitu juga usaha kita menerusi pembinaan dua buah klinik kesihatan baharu menggantikan klinik sedia ada yang sudah usang di Weston dan Kampung Lingkungan bagi memenuhi keperluan kesihatan penduduk.

“Dua buah bangunan kedai 12 pintu juga akan dibina di Weston dan Kampung Sungai Padas pada Disember tahun ini, bukan itu saja kita juga telah membina padang bola sepak di Kampung Indomadi tahun lalu.

“Kemudahan ini akan memberi manfaat kepada belia dan terbaru, kita akan bina padang bola sepak sama di Kampung Bukau dalam masa terdekat, bukankah ini juga perancangan?,” tegasnya.

Ruslan berkata, semua usaha yang dinyatakan itu direalisasikan hanya dalam tempoh tiga tahun sebaik dipilih sebagai Adun Lumadan pada tahun 2020 lepas setelah memenangi kawasan itu sebagai calon PBS.

“Walaupun kita baru setakat tiga tahun setengah menjadi wakil rakyat namun kita telah laksanakan bukan saja penyelesaian masalah besar tetapi juga pembangunan asas di kawasan ini.

“Usaha yang kita lakukan ini lebih besar berbanding pemimpin mereka sebelum ini dan tidak wajar mengatakan saya tiada perancangan kerana tohmahan ini sebenarnya lebih tepat diarahkan kepada wakil rakyat mereka sebelumnya.

“Bukan niat saya untuk memperkecilkan, tetapi ‘bukalah mata’ sebelum membuat tuduhan yang akhirnya memalukan diri sendiri..saya bekerja ikhlas untuk rakyat di Lumadan demi mencapai aspirasi ‘Lumadan Sejahtera’,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here