Wed, 26 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Model perumahan baharu tidak lama lagi
Published on: Sunday, June 16, 2024
By: Hayati Dzulkifli
Text Size:

Model perumahan baharu tidak lama lagi
CHUA (kedua kiri) menerangkan secara ringkas rancangan pembangunan projek Bay Suites berdasarkan modelnya sambil diperhatikan Isnin (kedua kanan), Timbalan Presiden Shareda Datuk Johnny Wong Chen Yee (kanan), dan Dr Jamili (kiri).
Kota Kinabalu: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah akan mengeluarkan model perumahan awam baharu yang dinamakan “Program Residensi Rakyat” (PRR), sejajar dengan pengumuman Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Persekutuan pada Mac.

Di bawah model ini, perumahan untuk rakyat akan disepadukan dengan baik, lestari dan boleh didiami, menampung daya maju komersial yang berkualiti, mengandungi ruang hijau, pusat komuniti dan ciri-ciri lain.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata Kerajaan Negeri juga berharap dapat mengurangkan lebihan hartanah bertingkat tinggi, terutamanya yang menelan kos melebihi RM600,000, melalui Sabah-Malaysia Rumah Keduaku (Sabah-MM2H).

Beliau, bagaimanapun, berkata industri itu mengalami pemulihan seperti yang dilihat menerusi pelancaran projek-projek baharu.

“Keutamaan kami ialah menyediakan rumah untuk golongan B40 dan M40 yang telah lama menjadi titik tekanan di negara ini.

“Mereka membentuk sebahagian besar dan Kementerian saya sedang melakukan semua yang termampu untuk menyokong mereka,” katanya sambil menambah Kerajaan Negeri bersyukur kerana Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) akan menerajui pembangunan rumah mampu milik, terutamanya bagi B40 dan M40.

Dr Joachim merasmikan Ekspo Hartanah Shareda (PropEX) 2024 yang bertemakan “Seni Pembinaan” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Jumaat.

Katanya, walaupun kos pembinaan meningkat, Shareda berjaya mengimbangi peningkatan kos dan menyediakan pilihan perumahan yang lebih baik.

“Bukan sahaja T20 mampu membeli rumah, M40 dan B40 juga menjadi tumpuan dalam bidang pembangunan dalam pasaran semasa hari ini,” katanya.

“Dengan peningkatan aktiviti pelancongan, saya tidak sabar untuk melihat apa yang telah disediakan oleh senario pembangunan hartanah untuk pasaran pelancong, sama ada jangka pendek atau panjang,” katanya.

Dr Joachim berkata Kementerian juga berharap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menerima pakai undang-undang yang sama dengan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 2022 bagi mempercepatkan kelulusan dan pensijilan bangunan.

Beliau berkata ini secara keseluruhan akan membantu industri dan menggerakkannya ke hadapan.

“Dalam lawatan saya ke 25 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Sabah pada Februari lalu, didapati kesemuanya telah menerima pakai Perakuan Siap dan Pematuhan UBBL 2022, yang memberi kuasa kepada profesional atau Principal Submitting Person (PSP) untuk mengeluarkan CCC.

“Ini akan menggantikan Sijil Layak Menduduki (OC) yang dikeluarkan PBT sebelum ini.

“Tidak lama lagi, kami berharap DBKK akan menerima pakai undang-undang yang sama untuk mempercepatkan kelulusan dan pensijilan bangunan,” katanya. 

Hadir sama, Pembantu Kerajaan Tempatan dan Perumahan I, Datuk Isnin Aliasnih; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Roland Chia; Presiden Shareda, Datuk Sr Chua Soon Ping; Setiausaha Tetap dan timbalannya di Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan, Sabah, Datuk Jamili Nais dan Stanley Chong; Pengarah Jabatan Tanah & Ukur Datuk Sr Bernard Liew Chau Min; Pengerusi Penganjur Propex 2024 Datuk Matthew Tan Yaw Tzuu dan Pegawai Eksekutif, Majlis Daerah Penampang, Robert Malangking.

 

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here