Sat, 22 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Fiona sampai menangis di set
Published on: Saturday, June 15, 2024
By: Kazalinah Kamaludin
Text Size:

Fiona sampai menangis di set
FIONA berkata menjayakan tuntutan watak Eve dalam filem Sinakagon agak berat buat dirinya. – Foto Ihsan Orang Sabah.com
BINTANG utama filem ‘supernatural-thriller’ Sabah, Sinakagon, Fiona Josepher, 32, mengaku menangis di set penggambaran ekoran rasa tertekan untuk memberikan lakonan terbaik.

Masih ‘hijau’ dalam bidang lakonan, Fiona yang juga Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Pulau Pinang 2019 dan UNK Johor 2015, berkata menjayakan tuntutan watak Eve dalam filem itu agak berat buat dirinya.

“Memandangkan ini kali pertama saya berlakon, pengalaman pun tiada, jadi untuk mengekspresikan emosi di set memang susah bagi saya.

“Lebih-lebih lagi dengan kehadiran orang lain di sekeliling, ia membuatkan saya rasa tambah tertekan.

“Membawakan watak Eve agak berat bagi saya sebagai seorang pelakon baharu kerana ia memerlukan saya untuk banyak menangis.

“Jujurnya memang rasa penat. Ada babak yang perlu diulang banyak kali apabila pengarah terpaksa ‘cut’ beberapa kali sehinggalah dia berpuas hati dengan babak tersebut.

“Kadang-kadang saya sampai menangis di set sebab terlampau tertekan untuk membawa emosi yang diharapkan. Jadi, mereka terpaksa tunggu sehingga saya bertenang dahulu barulah saya dapat buat balik (babak).

“Bagaimanapun, saya ingin berterima kasih kepada kru-kru, pelakon lama dan pengarah kerana banyak membantu saya ketika di set,” katanya ketika ditemui pada sesi Meet and Greet filem Sinakagon, di Pusat Beli-belah Imago, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Tambah wanita kelahiran Tambunan itu, sebelum datang ke set, dia terlebih dahulu menjalani bengkel lakonan yang disediakan oleh pihak produksi.

“Dalam bengkel selama tiga hari ini, saya diajar asas lakonan oleh Tim (pengarah) dan penolong pengarah Terence Blantocas.

“Selepas itu, kami (pelakon) ada juga sertai bengkel luar, tetapi itu cuma secara online,” kata bekas eksekutif sumber manusia di sebuah bank di semenanjung ini.

MEMBAWAKAN watak Eve memerlukan Fiona banyak menangis. 

Kepada satu soalan, Fiona mengakui berdebar menantikan penerimaan penonton terhadap lakonannya dan filem Sinakagon, yang menggunakan 99 peratus bahasa Dusun.

“Sebagai pelakon baru dan tidak dikenali, memang agak risau sama ada mereka (penonton) suka atau tidak dengan lakonan saya. 

“Yang penting, saya sudah berikan 100 peratus bagi menjiwai watak Eve. Jika pengarah puas hati dengan lakonan saya, jadi saya harap penonton dapat melihat hal yang sama juga.

“Saya juga berharap semua rakyat Malaysia, khususnya orang Sabah, akan menyokong filem ini di pawagam.

“Sinakagon merupakan filem berbahasa Dusun pertama Malaysia yang ditayangkan di pawagam.

“Dengan sokongan tinggi daripada kita orang Sabah, sekurang-kurangnya kita dapat tunjukkan kepada orang luar keindahan bahasa Dusun yang digunakan dalam filem ini.

“Oleh itu, daripada filem ini, kita boleh sebarkan bahasa Dusun kepada orang luar yang tidak biasa dengan bahasa Dusun,” katanya. 

Dalam pada itu, Fiona yang kini hamil tujuh bulan dengan anak pertama, berkata jika berpeluang dia ingin meneruskan langkahnya dalam bidang lakonan.

“Buat masa sekarang, saya fokus dulu dengan kehamilan saya. Mungkin selepas ini jika ada peluang, memang saya ingin teruskan kerjaya dalam lakonan.

“Saya ambil keputusan untuk berlakon dalam filem ini pun atas dasar minat dan saya ingin merasa sendiri pengalaman berlakon. Sekiranya tidak cuba, kita takkan tahu kalau kita ada bakat atau tidak. 

“Jadi, saya datang casting (uji bakat) dan tak sangka pengarah lamar saya untuk jadi pelakon utama. 

“Bila dia bagi tawaran, sebenarnya saya cakap dengan Tim yang saya mahu fikir dulu. Lepas saya teliti lagi jalan cerita, barulah saya terima,” katanya yang mengambil masa sehari untuk membuat keputusan itu.

Selain Fiona, naskhah dengan tagline Semangat Padi Takkan Lenyap ini, turut menampilkan Ejin Dinting, Lisa Christie, Esthaer Zaino, Malle Christian, Ronn Langad, Johnny Damianus, Larry Noh D Kanju, Wilton Hamdih, Yatie Hamzah, Jeffry Martin Poyee, dan Ad Vico, antara lain.

Sinakagon, arahan pengarah pertama kali, Timothy Stephen Tony Tanni mengisahkan tentang Eve, seorang pemenang Unduk Ngadau negeri.

Seorang perempuan dari Kayangan ingin menghapuskan pengaruh Huminodun cuba untuk membunuh Eve tetapi keturunan Huminodun hanya boleh dibunuh oleh Bobolian (bomoh).

Filem berdurasi 115 minit terbitan Bamboo Sound Studio dan Stephen Q Films ini ketika ini rancak ditayangkan di 30 pawagam seluruh negara.

 

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here