Wed, 26 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Ketua Menteri: Dividen interim RM10 juta bukti prestasi cemerlang Perbadanan Pinjaman Sabah
Published on: Thursday, June 13, 2024
By: Ricardo Unto
Text Size:

Ketua Menteri: Dividen interim RM10 juta bukti prestasi cemerlang Perbadanan Pinjaman Sabah
HAJIJI menyaksikan pertukaran MoU Cashless Tuaran antara PPS dan UOB pada majlis itu.
Tuaran: Prestasi Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) yang amat konsisten membolehkannya membayar dividen interim sebanyak RM10 juta untuk 2023 pada Mei lalu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, ini merupakan salah satu tanda kecemerlangan PPS dalam penyampaian perkhidmatan mereka.

“Saya amat berpuas hati dengan langkah dan inisiatif PPS merangka semula polisi pembiayaan sedia ada, mewujudkan produk yang sesuai untuk pelbagai golongan dan mewujudkan lebih banyak pusat perkhidmatan pelanggan serta pejabat bergerak.

“Saya berharap dengan adanya Pusat Perkhidmatan Pelanggan itu, perkhidmatan dan fasiliti kewangan PPS dapat memudahkan urusan dan memanfaatkan penduduk di Tuaran serta daerah berhampiran.

Semua inisiatif ini sejajar dengan Hala Tuju dan pemboleh daya Sabah Maju Jay (SMJ): Kemudahan Kewangan serta Keberkesanan dan Kecekapan penyampaian perkhidmatan,” katanya pada Majlis Perasmian Program Cashless Tuaran dan Pusat Perkhidmatan Pelanggan PPS Tuaran di pekarangan pejabat PPS Tuaran pada Rabu.

“Program Cashless Tuaran merupakan satu langkah yang sesuai dengan sasaran Kerajaan Digital ke arah transaksi kewangan tanpa tunai, dan inisiatif yang lebih besar oleh kerajaan di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Blueprint Sektor Kewangan 2022-2026.

Katanya, transaksi tanpa tunai menawarkan banyak manfaat, termasuk kaedah pembayaran yang lebih mudah, cepat, dan selamat. Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan transaksi harian, tetapi juga menyelesaikan isu kekurangan mesin ATM di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, dalam memastikan pembayaran tanpa tunai memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat sejagat, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri sentiasa prihatin untuk memastikan prasarana komunikasi tersedia, termasuklah usaha dipergiatkan untuk menyiapkan segera sebanyak 398 menara telekomunikasi di seluruh Sabah melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Katanya, pelbagai inisiatif diumumkan seperti penggunaan Digital Signature dan Digital Certificate untuk urusan rasmi kerajaan dan penghasilan sijil-sijil, lesen atau permit oleh agensi-agensi Kerajaan Negeri. 

Penggunaan Digital Signature dan Digital Certificate ini juga adalah salah satu usaha untuk mengurangkan perkhidmatan secara fizikal melalui kaunter.

Hajiji berkata, sistem aplikasi Kerajaan Negeri akan dilengkapi dengan perkhidmatan penerimaan pembayaran dalam talian dan satu portal penerimaan bayaran yang dinamakan “BayuPay” akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Selain itu, konsep Electronically Know Your Customer (eKYC) akan dilaksanakan agar semua pendaftaran untuk perkhidmatan Kerajaan tidak memerlukan orang awam hadir secara fizikal ke pejabat kerajaan bagi memohon bantuan atau mendapatkan perkhidmatan.

“Kerajaan Negeri, melalui Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), terus komited dalam menyediakan infrastruktur digital di kawasan luar bandar di Sabah.

“Untuk menyokong dan mempercepatkan penggunaan perkhidmatan kewangan digital di samping memperkukuhkan inklusiviti di Sabah, sebanyak 300 lokasi di seluruh Sabah dipasang dengan teknologi VSAT Starlink melalui Sabah Net agar akses kepada perkhidmatan kewangan di luar bandar boleh diperluaskan.

“Sabah Net kini bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta bank-bank di bawahnya sebagai sebahagian daripada initiatif pemboleh kewangan digital Sabah Net kepada masyarakat kurang mendapat perkhidmatan. 

“Ini untuk menggalakkan akses kepada perkhidmatan kewangan, di samping merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar serta mempromosikan literasi kewangan, sejajar dengan Halatuju SMJ dalam usaha untuk memperkasakan digital ekonomi,” tegasnya.

Beliau berharap Program Cashless Tuaran, suatu inisiatif kerjasama PPS dan United Overseas Bank (UOB) yang bertujuan mengisytiharkan Daerah Tuaran sebagai wilayah tanpa tunai dengan mendidik masyarakat mengenai penggunaan pembayaran dalam talian dan QR, dapat mencapai matlamat dan mendapat sokongan daripada penduduk daerah itu.

Sementara itu, CEO PPS George Taitim Tulas berkata pembukaan pusat itu merupakan salah satu inisiatif SCC untuk membawa perkhidmatannya lebih dekat kepada pelanggan.

SCC kini mempunyai 22 pusat pelanggan, termasuk ibu pejabatnya di Penampang. 13 daripadanya adalah pusat pelanggan daerah utama, iaitu di UTC Sabah, Alamesra, Kota Belud, Kota Marudu, Kudat, Ranau, Keningau, Tenom, Beaufort, Papar, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau.

“Pusat lebih kecil, dinamakan pusat perkhidmatan pelanggan, terletak di Telupid, Semporna, Beluran, Kinabatangan, Sipitang, Sook, Tambunan dan terbaharu di Tuaran.”

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here