Sat, 22 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Serang isteri: Pendawai dipenjara
Published on: Thursday, June 13, 2024
By: Jo Ann Mool
Text Size:

Serang isteri: Pendawai dipenjara
Ihsan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun sama.
Kota Kinabalu: Seorang pendawai berusia 37 tahun dipenjara 12 bulan pada Rabu kerana menyerang isterinya.

Mohd Ihsan Akhbar, 37, mengaku bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 46 tahun pada 3 Jun tahun ini, jam 7.30 malam, di sebuah rumah di Kg Petagas, Putatan.

Mahkamah dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa pada hari tersebut, Ihsan menumbuk muka isterinya sekali.

Isterinya, yang mengalami kecederaan di muka dan hidung menerima rawatan di hospital Queen Elizabeth, kata pihak pendakwaan.

Ihsan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun sama.

Seksyen 323 membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan manakala Seksyen 326A menyatakan sesiapa yang menyebabkan kecederaan kepada pasangan atau bekas pasangannya, anak, orang dewasa yang kurang upaya atau ahli keluarga lain dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323, 324, 325, 326, 334 atau 335 hendaklah dihukum penjara selama tempoh dua kali lebih lama daripada tempoh maksimum jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Korea didakwa atas dua pertuduhan menyerang seorang wanita dan merosakkan pintu kaca sebuah kedai serbaneka. Back Hak Ki, 63, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Untuk pertuduhan pertama, dia didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Wan Nur Zulaiqa Wan Azhar jam 11.80 malam, di premis 7-Eleven di Lintas, di sini.

Bagi pertuduhan kedua, Back didakwa melakukan khianat dengan memecahkan kaca pintu masuk Kedai 7-Eleven di Lintas dan menyebabkan kerugian RM1,300 pukul 11.50 malam, pada 25 Feb tahun ini.

Pertuduhan pertama didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, manakala pertuduhan kedua di bawah Seksyen 427 Kanun sama yang membawa hukuman penjara antara satu tahun dan lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Inspektor Suzie S. K. yang melakukan pendakwaan, ketika memohon pengurusan kes praperbicaraan, mencadangkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin bagi setiap pertuduhan selepas menyatakan pasport tertuduh sah sehingga 15 Mei 2028.

Peguam Lim Ming Zoong @ Lawrence yang mewakili Back, meminta ikat jamin yang lebih rendah atas alasan Back berada di bawah jaminan isterinya dan kini menganggur.

Mahkamah menetapkan 11 Julai depan untuk sebutan kedua-dua kes dan membebaskan Back dengan ikat jamin sebanyak RM1,000 serta dua orang penjamin bagi setiap kes dan memerintahkan pasportnya disimpan oleh mahkamah sehingga kesnya selesai.

Dalam kes berasingan, seorang tukang masak didenda RM3,000 atau penjara lapan bulan kerana melupuskan telefon pintar curi. Mohd Zulkarnain mengaku menjual telefon pintar kepunyaan seseorang bernama Xu Ying pada jam 8 malam, 2 Jun, di sebuah pasar mini di Kg Nosoob, Penampang. Pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa telefon bimbit itu dilaporkan dicuri pada 26 Mei di sebuah restoran di Plaza 333, Penampang.

Siasatan polis mendapati Zulkarnain menjual telefon pintar itu kepada lelaki tidak dikenali dengan harga RM80.

Kesalahan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here